Polis Tahan 4 Lelaki Siasat Perbuatan Khianat, Tiada Kaitan Kerajaan

Paku yang sengaja dimasukkan ke dalam balak boleh menyebabkan kecederaan serta membahayakan nyawa operator pengendali mesin memotong balak.

KOTA KINABALU: Dakwaan yang tular di media sosial tentang penahanan empat lelaki di Nabawan kerana mempertahankan tanah mereka daripada dimasuki sebuah syarikat swasta tidak mempunyai kaitan dengan kerajaan negeri atau pun mana-mana agensi kerajaan.

Ketua Konservator Hutan, Jabatan Perhutanan Sabah, Datuk Mashor Mohd. Jaini berkata, kesemua individu berkenaan ditahan polis selepas menerima laporan daripada Syarikat Brilliant Junction Sdn. Bhd. mengenai perbuatan khianat dilakukan mereka iaitu memasukkan paku ke dalam balak.

MASHOR

Beliau berkata, menurut maklumat diterima, berlaku pertikaian antara segelintir penduduk dengan syarikat berkenaan menyebabkan kesemua yang ditahan didakwa bertindak memasukkan paku ke dalam balak yang boleh menyebabkan mata pisau mesin gergaji terputus atau pecah seterusnya boleh mendatangkan kecederaan kepada operator pengendali mesin.

“Dakwaan kononnya kerajaan terlibat tidak betul kerana ini kuasa polis yang menahan mereka hasil laporan oleh syarikat itu terhadap perbuatan khianat beberapa individu.

“Ada bukti-bukti yang menunjukkan paku dimasukkan ke dalam balak iaitu perbuatan yang amat berbahaya, namun kami menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan,” katanya ketika dihubungi Borneo Today hari ini.

Jumaat lalu, empat lelaki berkenaan ditahan polis bagi membantu siasatan terhadap laporan syarikat berkenaan selepas mendapati beberapa batang paku dimasukkan ke dalam balak secara sengaja.

Penahanan tersebut yang dibuat mengikut prosedur bagaimanapun dipertikai oleh individu tertentu dan dilaporkan sebuah portal yang mempersoalkan peranan kerajaan negeri memandangkan kesemua yang ditahan dikatakan hanya mempertahankan tanah adat mereka.

Mashor berkata, syarikat tersebut sebenarnya beroperasi membuka tanah di kawasan seluas 3,530 hektar itu selepas mendapat Geran Komunal Tatalaan II yang diberikan oleh kerajaan terdahulu.

Katanya, kerajaan negeri sekarang bagaimanapun telah mengambil langkah memperketatkan syarat geran iaitu syarikat hanya dibenarkan membuka kawasan untuk tujuan mengukur lot-lot tanah di situ bagi diberikan kepada penduduk kampung kelak.

Serpihan paku ditemukan di dalam balak yang sudah diperoses.

Jelasnya, sebanyak 475 peserta akan menerima lot tanah terlibat mengikut permit F2B yang dikeluarkan pada Mac 2019.

“Sehubungan itu, bila ada balak di kawasan terlibat, maka syarikat boleh mengeluarkannya selepas mendapatkan permit daripada Jabatan Perhutanan dan memang permit sudah dipohon menyebabkan jabatan saya dikatakan terlibat.

“Tetapi biasalah kadang-kadang ada individu yang tidak berpuas hati dan wujud pertikaian sehingga berlaku perbuatan yang tidak sepatutnya,” katanya.

Menurut Mashor, berikutan siasatan polis sudah dibuka, Jabatan Perhutanan mengambil langkah segera menggantung lesen operasi syarikat sehingga siasatan selesai.

“Disebabkan kes ini melibatkan kepentingan awam, maka pihak jabatan bertindak menghentikan operasi syarikat itu demi memastikan siasatan berjalan dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintenden Shahrudin Mat Husain ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut, namun enggan mengulas lanjut.