Polis Tahan 4 Suspek Pembunuh Gajah Bornean

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Tiga lelaki tempatan dan seorang warga asing ditahan polis bagi membantu siasatan pembunuhan kejam seekor gajah Borneo di Tawau minggu lalu.

Kejayaan tersebut selepas polis dan Jabatan Hidupan Liar menyerbu kediaman semua suspek dalam Op Bersepadu Khazanah yang dijalankan.

PETER UMBUAS

Sekurang-kurangnya selaras senapang patah dan beberapa butir peluru dipercayai dirampas daripada suspek.

Ketika dihubungi, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Peter Umbuas mengesahkan penahanan tersebut.

Beliau dijangka mengadakan sidang akhbar pada pukul 2.30 petang ini.

Pada 25 September lalu, sekumpulan pemancing menemukan bangkai gajah berkenaan dalam keadaan terduduk ditebing Sungai Udin, Kalabakan sebelum menyebarkan gambar haiwan berkenaan di media sosial.

Berikutan itu, pegawai Jabatan Hidupan Liar yang melakukan siasatan keesokannya mendapati gading gajah tersebut telah dipotong oleh pemburu haram.

Gajah jantan yang berusia antara 20 hingga 30 tahun itu ditembak sebanyak 70 kali menggunakan senapang patah.

Bagi memburu dalang tersebut, beberapa pihak termasuk Jabatan Hidupan Liar menawarkan sebanyak RM30,000 kepada pemberi maklumat.

BERITA BERKAITAN: –

Peluru Menembusi Tengkorak Punca Gajah Bornean Mati

Polis Lancar Operasi Khazanah Kesan Suspek Bunuh Gajah Sungai Udin

Dibunuh Kejam, 70 Peluru Ditemukan Di Badan Gajah Pygmy