Polis Tahan 21 Pala’u, Pengedar Dadah Di Lahad Datu

Gambar hiasan sahaja.

LAHAD DATU: Polis menahan 21 orang Pala’u dalam satu operasi bersepadu khas di lima lokasi sekitar Lahad Datu, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor berkata Pala’u berumur dua hingga 60 tahun itu ditahan susulan kegiatan golongan itu yang mengemis di jalanan dan membahayakan keselamatan di jalan raya.

“Seramai 10 wanita, tiga kanak-kanak lelaki dan lapan perempuan ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/62,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Nasri, seramai 16 anggota terlibat dalam operasi itu yang menumpukan kawasan lampu isyarat Perdana, Lapangan Terbang, Wisma Ramai-Ramai, Bandar Wilayah dan KFC Bandar Lahad Datu dari 2 hingga 4 petang.

Mengulas lanjut, Nasri berkata kegiatan Pala’u yang menjadikan kawasan lampu isyarat untuk meminta sedekah telah mengundang kebimbangan orang ramai berikutan kejadian kemalangan yang berlaku baru-baru ini.

“Dalam kejadian yang menjadi viral di media sosial itu, kelihatan seperti peminta sedekah itu dilanggar sedangkan siasatan mendapati sebaliknya yang berlaku. Peminta sedekah itu telah berlari dalam kesesakan jalan raya sehingga terlanggar kereta yang sedang bergerak,” katanya.

Nasri berkata siasatan juga mendapati kanak-kanak Pala’u terlibat mengemis itu turut melakukan kegiatan menghisap gam, hasil daripada meminta sedekah.

Sementara itu, katanya pada hari sama, seorang pengedar dadah warga Filipina diberkas ketika membawa 30.80 gram syabu dalam Op Sarang di Kampung Desa Bajau, Jalan Tengah Nipah, di sini.

Nasri berkata, suspek berumur 40-an itu ditahan setelah berkelakuan mencurigakan ketika melalui jambatan di kampung itu pada 11.15 pagi.

“Pemeriksaan ke dalam beg dipakai suspek menemukan tiga paket plastik lutsinar berisi ketular hablur jernih disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 30.80 gram bernilai RM4,620,” katanya dan suspek juga didapati positif dadah.

Nasri berkata siasatan lanjut mendapati suspek disyaki mula terlibat dengan penagihan dadah pada awal 2005 dan hasil semakan rekod lampau tidak pernah ditangkap dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Dalam pada itu, di kampung yang sama polis turut menahan tiga penagih dadah lelaki berusia 20 hingga 40-an.