Polis Tahan 18 PATI, Dua Penagih Sekitar Bandaraya; Rampas Motorsikal

‘Op Bersepadu’ dijalankan di enam lokasi sekitar kawasan Inanam, Kolombong dan Manggatal, memakan masa selama 10 jam. – Gambar ehsan PDRM Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Seramai 18 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Op Bersepadu PATI di enam lokasi di sekitar bandar raya ini.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, ACP M Chandra berkata PATI yang ditahan dalam operasi kira-kira 10 jam itu yang bermula 11 malam (Sabtu) hingga 9.30 pagi (Ahad) tadi berumur antara enam bulan hingga 50 tahun.

“Seramai 18 orang yang ditahan semuanya warga Filipina yang ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen. Mereka adalah sebahagian daripada 59 individu yang diperiksa dalam operasi itu,” katanya dalam satu kenyataan hari Ahad.

Menurut Chandra, kesemua 18 PATI yang ditahan dalam operasi yang disertai pelbagai agensi termasuk Jabatan Pendaftaran Negara dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu itu telah dihantar ke lokap berpusat Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

Polis bandaraya berjaya merampas sembilan buah motorsikal pelbagai jenis kerana disyaki cuba menjalankan lumba haram.

Katanya dalam operasi berkenaan, pihaknya turut menahan dua individu lain di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana positif dadah.

Polis Bandaraya juga mengadakan “Op Halangan” di Kg. Numbak dan “Op Samseng Jalanan” baru-baru ini, bertindak di atas maklumat orang awam.

Tujuan Operasi ini dijalankan adalah bagi mendidik dan memberi kesedaran kepada pengguna jalanraya khususnya di Kg. Numbak supaya lebih berdisiplin dalam masalah meletakkan kenderaan di kampung tersebut.

Semasa operasi ini dijalankan sebanyak 46 keping saman Pol. 170A telah dikeluarkan terhadap kenderaan-kenderaan yang diletakkan di bahu jalan yang mana menghalang lalulintas kepada pengguna jalanraya yang lain, kata Chandra.

Pada masa yang sama, polis daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik juga turut menjalankan operasi iaitu ‘Op Samseng Jalanan’ di sekitar kawasan yang sering berlakunya lumba haram iaitu di Jalan Coastal, Jalan Lintas, Jalan Tuaran Bypass dan kawasan 1Borneo.

Didalam operasi itu, pihak polis telah berjaya merampas/menyita sembilan buah motorsikal pelbagai jenis dan ditahan dibawah Sek. 60 APJ 1987 kerana disyaki cuba menjalankan lumba haram di sekitar kawasan tersebut.