Polis Suraikan Perhimpunan Ahli Parlimen Pembangkang

KUALA LUMPUR: Polis hari ini menghalang cubaan Ahli Parlimen Pembangkang memasuki perkarangan bangunan Parlimen bagi mendesak supaya mesyuarat khas disambung walaupun ia telah ditangguhkan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) berikutan penularan Covid-19.

 Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohamad Zainal Abdullah berkata mereka bersurai tanpa sebarang kekecohan selepas diarahkan oleh pihak polis.

Beliau berkata walaupun mereka bersurai dengan aman tetapi berlaku banyak perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) khususnya berkaitan penjarakan fizikal.

Terdahulu mereka telah berkumpul di Dataran Merdeka sebelum berarak menuju ke Parlimen.

Bagaimanapun, tindakan mereka itu dihalang oleh pasukan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Bulatan Datuk Onn, laluan menghala ke Parlimen, dan mereka bersurai kira-kira pukul 10.50 pagi.

Minggu lepas, KKM  mencadangkan agar semua sesi mesyuarat Parlimen ditangguhkan untuk tempoh dua minggu mulai 29 Julai susulan pengesanan kes COVID-19 dan kebimbangan risiko penularan jangkitan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan dan Pilihan Khas Parlimen serta pembentangan yang dirancang di Parlimen atau yang melibatkan individu berada di bangunan itu dari 26 hingga 29 Julai lepas.

Katanya 104 orang telah disaring pada 26 hingga 28 Julai lepas di Parlimen melalui ujian saringan kendiri RTK antigen (Ag) saliva dan pada 12.30 tengah hari 29 Julai, KKM telah dimaklumkan mengenai dua kes positif COVID-19 yang telah hadir ke Parlimen.

Kes pertama merupakan seorang petugas yang hadir ke Parlimen sejak 26 Julai 2021 dan dikesan positif melalui ujian pengesahan RT PCR di sebuah fasiliti kesihatan kerana bergejala batuk manakala kes kedua dikesan semasa saringan di Parlimen pada pagi 29 Julai menggunakan ujian kendiri RTK antigen (Ag) saliva kerana gejala batuk dan loya. 

Susulan dua kes positif, KKM telah mengambil keputusan segera untuk menjalankan saringan ujian kendiri RTK Ag saliva ke atas 1,183 individu di dalam Parlimen dan mendapati sembilan lagi kes positif COVID-19. 

Dr Noor Hisham berkata ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif  ialah 11, iaitu seorang RT PCR positif dan 10 orang RTK Ag positif  dengan lima daripadanya bergejala. 

Beliau berkata setakat ini 48 kontak rapat dikenal pasti, namun siasatan serta pengesanan kontak rapat masih lagi diteruskan, dan pada 30 Julai saringan prapersidangan Dewan Negara dijalankan ke atas 100 individu menggunakan ujian RT PCR mendapati sembilan kes positif COVID-19.