Polis Siasat Anggota Tularkan Gambar Kanak-kanak Palauh Digari

Gambar yang tular di media sosial.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
LAHAD DATU: Seorang anggota polis dikenal pasti dan disiasat selepas dipercayai menggari, mengambil gambar seorang kanak-kanak lelaki Palauh sambil memegang pistol mainan dan menularkannya.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, tindakan tegas akan diambil ke atas anggota tersebut memandangkan kelakuannya salah apatah lagi membabitkan kanak-kanak.

“Setakat ini, hanya seorang anggota dikesan terbabit dalam perkara itu.

“Saya tegaskan, tindakan sebegitu tidak wajar dilakukan dan kami tidak akan berkompromi mengenainya,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, tular gambar seorang kanak-kanak lelaki Palauh yang meminta sedekah sambil memegang pistol mainan di Bandar Sri Perdana, di sini pagi tadi.

Tidak lama selepas itu, tular sekali lagi, gambar kanak-kanak berkenaan dalam keadaan bergari sambil memegang pistol berkenaan sehingga menimbulkan pelbagai reaksi orang ramai termasuk mempersoalkan tindakan menularkan gambar pesalah bawah umur.

Sebelum ini, Borneo Today melaporkan seramai 15 individu ditahan terdiri daripada empat wanita dan 11 kanak-kanak berumur antara 6 bulan hingga 31 tahun termasuk kanak-kanak yang memegang pistol mainan tersebut.

Sementara itu, Nasri menasihatkan semua pihak termasuk pengendali laman sosial agar memadamkan status dan gambar kanak-kanak digari tersebut.

BERITA BERKAITAN :-

Kanak-kanak Bawa Pistol Mainan Dicekup Polis Bersama 4 Wanita