Polis Sedang Kesan Nelayan Terlibat Bom Ikan Di Semporna – Omar

OMAR MAMMAH

Oleh BORNEOTODAY
KOTA KINABALU: Polis masih mengesan nelayan yang menjalankan kegiatan pengeboman ikan hingga mengorbankan tiga penyelam termasuk dua pelancong China dan seorang dive master dalam kejadian di Pulau Kalapuan, Semporna pada Jumaat.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, Pasukan Polis Marin telah diarahkan menjalankan siasatan berhubung kes itu namun, setakat ini individu terlibat belum dapat dikesan.

Beliau berkata, polis sedang mencari individu terlibat. Berdasarkan pemantauan bot nelayan yang melalui kawasan menyelam itu hanya melibatkan bot kecil sahaja.

Omar berkata, pemantauan bagi memastikan kegiatan mengebom ikan di perairan negeri ini juga akan diteruskan bagi mengelakkan kejadian tidak sebegitu berulang.

Penyelam warga China yang mati dipercayai akibat terkena bom ikan.

“Pemantauan polis sepanjang masa namun, apabila ada bot peronda, nelayan tidak menjalankan aktiviti pengeboman. Mereka hanya akan menjalankan aktiviti itu di kawasan yang tiada bot peronda polis. Kawasan perairan Sabah ini sangat luas jadi kita tidak dapat mengawal semua kawasan,” ujarnya.

Beliau juga meminta kerjasama orang kampung supaya menyalurkan maklumat jika mereka mengetahui mana-mana individu atau kumpulan nelayan yang menjalankan aktiviti pengeboman ikan berhampiran kawasan perkampungan mereka.

Menurut sumber, dua kru bot pelancong warga tempatan dipercayai telah ditahan oleh polis bagi membantu siasatan berhubung insiden membabitkan kematian tiga penyelam di Pulau Kalapuan itu.

Sumber memaklumkan, tangkapan dibuat ke atas seorang pemandu bot dan seorang guide yang masing-masing berusia 23 dan 24 tahun.

Bagaimanapun, difahamkan setakat ini belum ada sebarang pengakuan direkodkan mengenai insiden membabitkan kematian dua pelancong warga China itu.

Mengenai insiden itu, sumber memaklumkan siasatan awal mendapati kematian ketiga-tiga mangsa disyaki disebabkan bom ikan memandangkan terdapat kesan jelas seperti banyak ikan mati sekitar tempat mangsa dijumpai.Malah, terdapat batu karang yang rosak mungkin disebabkan kesan letupan.

Terdapat beberapa peralatan mangsa juga rosak teruk seperti goggle dipakai hancur dan pendarahan serta badan mangsa juga lembik disyaki akibat letupan bom ikan.

Kesemua mangsa dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri pada kedalaman 5.8 meter dari permukaan air.

Ketiga-tiga mangsa dikenali sebagai Ab Zainal Abdu,30 pemegang Kad IMM13, manakala warga China adalah Zhao Zhong,26 dan Xu Yingjie,26.

Berdasarkan maklumat diperolehi, kedua-dua lelaki yang ditangkap itu memaklumkan selepas menghantar mangsa, Ab Zainal bersama dua penyelam di kawasan selaman pada 2.30 petang, mangsa mengarahkan mereka pergi ke Jeti Kalapuan bagi mengambil tong gas oksigen. Jarak jeti dan kawasan selaman hanya 50 meter.

Sepasukan penyelam membantu membawa mayat mangsa naik ke daratan.

Sejam selepas itu, kedua-dua kru kapal kembali semula ke kawasan selaman dan mengesyaki sesuatu telah berlaku kerana terdapat buih dari dalam laut. Kemudian, kedua-dua mereka menghubungi rakan lain bagi mendapatkan bantuan menyelamat.

Seorang Dive Rescue dikenali sebagai Sam membantu menyelamatkan ketiga-tiga mangsa yang didapati sudah tidak bernyawa pada 4.50 petang.

Dimaklumkan, ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Tawau pada 5.33 petang dan kesemua mangsa disahkan telah meninggal dunia.

Bedah siasat dipercayai akan turut dijalankan di hospital berkenaan. Siasatan kes dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu dipercayai masih diteruskan oleh pihak polis.

BERITA BERKAITAN: –

Tiga Penyelam Termasuk Dua Warga China Maut Terkena Bom Ikan

Polis Marin Keluarkan Kompaun Kepada 24 Bot Atas Pelbagai Kesalahan