Polis Sandakan Tahan Lapan Suspek Macau Scam

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Tujuh lelaki dan seorang wanita yang disyaki terbabit dalam kes penipuan ‘Macau scam’ menyebabkan seorang wanita kerugian RM355,000 berjaya ditahan.

Semua suspek berusia antara 26 hingga 51 tahun ditahan di beberapa lokasi di sini dengan tangkapan dibuat sejak dua hari lalu.

Penahanan mereka dibuat apabila seorang wanita berusia 46 tahun yang menyedari diperdaya membuat laporan polis pada 14 Mei lalu di Balai Polis Sandakan.

Mangsa yang juga kerani syarikat swasta dilaporkan diperdaya pada 27 April lalu menerusi panggilan telefon yang mendakwa mangsa melakukan kesalahan dengan mengirim barang yang tidak dibenarkan melalui pos.

Mangsa kemudiannya diminta berhubung dengan Balai Polis Ipoh untuk menyelesaikan kes berkenaan dan diminta memasukkan sejumlah wang ke beberapa akaun untuk menyelesaikan kes.

Mangsa yang akur dikatakan menurut permintaan suspek dan hanya membuat laporan polis selepas menyedari diperdaya.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Hamin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan semua suspek yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan.

Katanya, turut dirampas daripada semua suspek adalah lapan telefon bimbit, 46 keping kad ATM, wang tunai RM7,138, cop syarikat dan tujuh keping kad sim.

“Semua suspek kini direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Kita ingatkan orang ramai agar berhati-hati dengan modus operandi ‘macau scam’ dan tidak mudah terpedaya,” katanya.