Polis Sandakan Tahan Dua Lelaki Dipercayai Pengedar Dadah

1097

SANDAKAN: Polis menahan dua lelaki berhampiran sebuah pasaraya di Indah Jaya di sini dan merampas merampas kira-kira 1.05 kg dadah jenis syabu bernilai RM52,500 yang dipercayai untuk diedar di daerah ini, Isnin lepas.

Ketua Polis Sandakan ACP Mohd Azhar Hamin berkata suspek masing-masing berumur 30-an yang berasal dari Lahad Datu itu ditahan pada kira-kira pukul 8.40 malam, selepas polis menemui dadah berkenaan dalam satu paket plastik berwarna hijau.

Beliau berkata semasa ditangkap, seorang daripada lelaki itu sedang memegang satu bungkusan plastik hitam manakala seorang lagi di dalam kereta, dan selepas diperiksa polis menemui satu paket plastik berwarna hijau dalam bungkusan plastik berkenaan.

AZHAR HAMIN

“Apabila paket plastik hijau itu dibuka, di dalamnya didapati berisi ketulan-ketulan hablur disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya kedua-dua lelaki itu direman sehingga 19 Mac ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya kerana mengedar dadah, yang boleh membawa hukuman gantung jika sabit kesalahan.

Menurutnya kes itu merupakan kedua terbesar direkodkan di Sandakan tahun ini selepas seorang lelaki warga Filipina berumur 30-an ditahan dengan 2.1 kg syabu di Batu 3 di sini pada 1 Mac lepas.

Sementara itu, Mohd Azhar berkata polis Sandakan berjaya menyelesaikan 34 kes jenayah di daerah ini sejak awal bulan lepas sehingga pertengahan bulan ini melibatkan nilai rampasan berjumlah RM119,710 dan penahanan sembilan individu atas pelbagai kesalahan.

Beliau berkata antara kes besar yang diselesaikan dalam tempoh itu ialah kejayaan menyelesaikan 18 kes pecah rumah yang melibatkan nilai kerugian berjumlah RM41,690, susulan penahanan seorang lelaki tempatan berumur 40 tahun.

Menurutnya semua kes itu yang berlaku di Taman Sejati Ujana dan Taman Wijaya di Batu 7 di sini.