Polis Sahkan Rakyat Malaysia Berasal Kelantan Ditahan Di Filipina

log-cop

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan seorang rakyat Malaysia berasal dari Kelantan ditahan pihak berkuasa Filipina baru-baru ini.

Khalid Abu Bakar
Khalid Abu Bakar

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata lelaki itu dipercayai terlibat dengan kumpulan militan di selatan Filipina.

“Saya sahkan lelaki itu rakyat Malaysia…setakat ini, itu sahaja yang kita tahu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perasmian Seminar Antarabangsa Pencegahan dan Rawatan Pemulihan Dadah 2016 (PREVENT 2016) di sini hari Rabu.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mewakili Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tiga ratus peserta menyertai seminar dua hari itu yang dianjurkan Universiti Sains Islam Malaysia.

Media antarabangsa melaporkan komander Briged Infantri ke-104 tentera Filipina, Kolonel Cirilo Donato berkata seorang rakyat Malaysia ditahan di pelabuhan Maluso, Filipina ketika cuba menyusup masuk ke negara itu awal bulan ini.

Donato dilaporkan berkata lelaki itu kini berada dalam tahanan pihak berkuasa Filipina.