Polis Sabah Tembak Mati Lima pengganas Abu Sayyaf

KOTA KINABALU: Polis Sabah berjaya menembak mati lima pengganas daripada Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) dalam serbuan di kawasan penempatan haram berhampiran Taman Sri Arjuna, Beaufort semalam.

Dalam kejadian berbalas tembakan pada 11.27 pagi itu, pasukan serbuan PDRM menembak mati lima pengganas ASG yang merupakan saki baki kumpulan pertama yang ditangkap pada 8 Mei lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, kesemua mereka yang berusia antara 20an hingga 40an itu ditembak mati ketika cuba menyerang pasukan serbuan yang menyerbu tempat persembunyian mereka.

Beliau berkata, pasukan serbuan membalas tembakan demi mempertahankan diri dan menghentikan ancaman daripada kelima-lima suspek.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kelima-lima suspek berjaya ditembak mati. Dua daripadanya bersenjatakan pistol manakala, tiga lagi menggunakan parang,” katanya dalam sidang media Op Bersepadu Khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Menurutnya, Mabar Binda yang merupakan subketua ditembak mati serta abangnya yang ditangkap pada 8 Mei lalu pernah terlibat dalam pengeboman di Selatan Filipina dan perkara ini disahkan oleh pasukan keselamatan Filipina.

Mengulas lanjut, Hazani berkata, kedua-dua operasi khas itu berjaya melumpuhkan satu sel Daesh atau ISIS di Sabah.

Kini, usaha mengesan saki-baki kumpulan Abu Sayyaf ini akan terus digerakkan di seluruh Sabah.

Tambahnya, beliau turut mengingatkan pasukan keselamatan untuk sentiasa berhati-hati kerana dikhuatiri akan ada serangan balas daripada kumpulan Abu Sayyaf susulan lima anggota mereka ditembak mati semalam.

Pasukan keselamatan akan meningkatkan kawalan keselamatan dan risikan di seluruh Sabah untuk mengesan jika ada saki baki atau sel kumpulan pengganas ini yang masih bersembunyi di Sabah.

“Kita mengesyaki masih ada saki baki dan tali barut kumpulan Abu Sayyaf (ASG) dan pejuang Daesh ini kerana mudah untuk mereka bercampur dengan penduduk tempatan yang menggunakan bahasa Suluk dan melayu Sabah.

“Oleh itu, saya menggesa masyarakat setempat tidak membantu kumpulan pengganas dari negara jiran dan tolong maklumkan kepada PDRM atau pasukan keselamatan sekiranya melihat kehadiran kumpulan pengganas ini,” katanya.

Pada 8 Mei, lapan anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf termasuk dua subketua yang tersenarai dalam orang dikehendaki oleh kerajaan Filipina berjaya ditangkap bersama anggota keluarga mereka di lokasi sama iaitu di kawasan paya berhampiran Taman Sri Arjuna. Tangkapan ini melibatkan 37 orang warga Filipina termasuk 21 kanak-kanak.