Polis Sabah Sokong RUU IPCMC Secara Bersyarat – Omar Mammah

82

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Menyifatkan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku (IPCMC) sedia ada sebagai tidak adil, Polis Kontinjen Sabah mahu beberapa aspek diambil kira sebelum RUU itu diluluskan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, mereka bersetuju dengan pendirian Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador yang menyokong pelaksanaan IPCMC namun, ada syarat tertentu yang perlu ditambahbaik.

“Kami setuju dengan IPCMC ini tetapi bersyarat. Syaratnya adalah untuk menambahbaik isu-isu yang kami rasakan perlu diperbaiki seperti dari segi perlembagaan, perundangan, kebajikan dan isu logistik.

“RUU ini perlu diperbaiki. Kami akur dengan pucuk pimpinan kita. Kita menyokong RUU ini namun ada perkara yang perlu ditambahbaik supaya undang-undang ini bersikap adil terhadap pihak polis.

“Kami berharap Jawatankuasa Pilihan Khas ini akan menimbang semula isu-isu yang kami bangkitkan dalam pendengaran awam ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Sesi Pendengaran Awam Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang RUU IPCMC 2019, di sini pada Ahad.

Menyifatkan RUU sedia ada sebagai ‘draconian law’, beliau mahu ada pengasingan kuasa dalam mengendalikan suruhanjaya ini kelak.

Katanya, dalam RUU sedia ada, semua kuasa diberikan kepada IPCMC dari proses menjalankan siasatan sehingga menjatuhkan hukuman.

“Berdasarkan undang-undang sedia ada, kita mengamalkan pengasingan kuasa dalam undang-undang dimana, ada pihak yang menyiasat, ada pihak yang membuat keputusan sama ada perlu dituduh di mahkamah atau tidak, iaitu Pejabat Peguam Negara. Kemudian, mahkamah yang akan memutuskan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak.

“Bagaimanapun dalam IPCMC, semua disiasat, diputuskan dan dijatuhkan hukuman oleh IPCMC,” jelasnya.

Malah, dalam IPCMC, hak orang yang dituduh dinafikan. Jika dilihat dibawah Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah, seseorang yang disiasat berhak untuk tidak menjawab pertuduhan dilemparkan.

Akan tetapi, dibawah IPCMC, orang yang dituduh yang enggan memberi jawapan akan dituduh di mahkamah dan jika didapati bersalah tertuduh akan dipenjarakan selama dua tahun atau dikenakan denda sehingga RM10,000.

Omar turut mencadangkan agar apabila ahli jawatankuasa IPCMC ditubuhkan kelak, akan ada pegawai polis atau bekas pegawai polis dipilih anggotai 10 ahli jawatankuasa siasatan IPCMC.