Polis Sabah Rampas Barangan Makanan Sejuk Beku Bernilai RM33.68 juta

KOTA KINABALU: Polis Sabah berjaya merampas barang makanan sejuk beku tanpa cukai dan sebahagiannya tanpa logo halal bernilai RM33.68 juta dalam Op Contraband yang dijalankan dalam tempoh dua minggu ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, kejayaan yang direkodkan itu membolehkan pihaknya menumpaskan sindiket pengedaran dan penjualan barang makanan sejuk beku tanpa cukai yang giat dijalankan di negeri ini.

Beliau berkata, dalam operasi bersepadu yang dijalankan bermula 4 hingga 16 Januari itu, empat serbuan telah dilakukan manakala, 33 lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia berusia antara 19 hingga 51 tahun ditahan.

Katanya, bertindak atas maklumat risikan, pihak polis berjaya melakukan rampasan pelbagai makanan sejuk beku termasuk 17,926 kotak ayam, 22,763 kotak ikan dan 2,107 kotak yang mengandungi sosej dan nugget di sebuah gudang di Jalan Lok Kawi-Kinarut Papar, kira-kira pukul 8.45 malam pada 4 Januari lalu.

Pemeriksaan mendapati kesemua barang makanan sejuk beku yang dianggarkan bernilai RM 21.35 juta itu tidak bercukai dan gagal mempamerkan logo halal.

Serbuan kedua yang dilakukan pada hari yang sama di sebuah premis di kawasan perindustrian Lok Kawi, pihaknya merampas 3,468 kotak dan 794 plastik yang mengandungi pelbagai bahagian ayam sejuk beku yang dianggarkan bernilai RM 967,284.

Premis itu juga dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan barangan tidak bercukai malah, pemilik premis juga gagal mempamerkan logo halal.

“Pemeriksaan lanjut di dalam premis berkenaan turut menemukan sejumlah barangan sejuk beku yang dipercayai tidak mempunyai cukai kastam dengan nilai rampasan dianggarkan RM 8.24 juta,” katanya.

Dalam serbuan ketiga yang dijalankan di sebuah stor penyimpanan barangan sejuk beku di Kinarut pada 15 Januari lalu, pihaknya menemukan pelbagai bahagian ayam dan tulang daging sejuk beku dengan nilai rampasan kira-kira RM2.55 juta.

“Serbuan keempat pula dilakukan pada 16 September lalu di sebuah gudang di Lok Kawi dan pihak polis berjaya merampas 2,800 kotak sayap ayam dan 760 kotak mengandungi peha ayam sejuk beku yang dianggarkan bernilai RM577,320,” katanya.

Berdasarkan serbuan yang dilakukan didapati ada antara premis yang gagal mengemukakan lesen perniagaan yang sah dan kesemua barangan yang dirampas adalah tidak bercukai.

Katanya, Op Contraband itu dijalankan dengan kerjasama Biro Jenayah Hidupan Liar, Bahagian Perisikan dan Siasatan Khas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, JSJ IPD Papar, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah.

Mengulas lanjut katanya, berdasarkan maklumat diterima terdapat sembilan sindiket yang dikenal pasti terlibat dalam kegiatan mengimport ayam sejuk beku tanpa kelulusan kastam di Sabah yang dipercayai sudah bergiat aktif sejak 10 tahun lalu.

Justeru, pihak polis akan terus menjalankan serbuan dari semasa ke semasa untuk membanteras kegiatan yang menggugat ketenteraman dan sensitiviti agama menerusi penyelarasan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan.