Polis Sabah Rampas 33.9kg Syabu Bernilai RM1.69juta Setakat Julai

Zaini (tengah) bersama Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji (tiga kiri) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di Manggatal pada Selasa.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Kontinjen Sabah merekodkan 44 tangkapan kes dadah jenis syabu yang membabitkan 56 orang dan melibatkan rampasan syabu sejumlah 33.9kg dianggarkan bernilai RM1.69 juta bagi tempoh Januari hingga 23 Julai ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, berbanding tempoh sama tahun lalu, JSJN merekodkan 54 kes tangkapan membabitkan 70 orang dan melibatkan rampasan 21.9kg syabu.

“Hasil kejayaan ini membuktikan pihak polis khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) sentiasa komited dalam usaha membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah di negeri ini.

Zaini (tiga kanan) menunjukkan beg galas yang digunakan menyimpan dadah yang ditemui dalam kabinet dapur rumah suspek.

“Atas sebab itu, polis mengarahkan setiap Ibu Pejabat Polis Daerah menjalankan Ops Sarang tiga kali seminggu bagi mengempur pengedar dan penagih dadah di seluruh Sabah,” katanya semasa Sidang Media, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di sini pada Rabu.

Mengenai pesalah berulang, berdasarkan statistik, pesalah berulang bagi kes dadah dibawah Seksyen 39C Kanun Keseksaan bagi tempoh Januari- 23 Julai adalah sebanyak 238 kes berbanding 170 kes untuk tempoh sama tahun lalu.

Bagi tempoh yang sama, terdapat 48 kes berbanding 31 kes dibawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.