Polis Sabah Menafikan Ada Perintah Berkurung 24 Jam Di ESSZone

Oleh NORA AHMAD
KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah hari ini menjelaskan perintah berkurung 24 jam di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang tular di aplikasi WhatsApp adalah tidak benar.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, baru-baru ini tular isu berkaitan maksud perintah berkurung 24 jam yang dikenakan di kawasan ESSZone serta pelbagai ulasan yang tidak benar berkaitan dengannya.

“Tafsiran yang tidak betul ini adalah tidak bertanggungjawab dan boleh menakutkan rakyat terutama ketika proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sedang berlangsung sekarang.

“Susulan dari isu ini, PDRM menafikan bahawa dakwaan yang tidak benar yang telah ditularkan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa arahan perintah berkurung yang sedang berkuatkuasa kini bermula 2 September hingga 17 September.

“Mengikut peruntukan dibawah Akta Polis 1967, Pesuruhjaya Polis boleh mengisytiharkan perintah berkurung untuk tempoh selama 24 jam dan perintah ini dilanjutkan oleh menteri selama tempoh 14 hari.

“Bagaimanapun, akta ini juga memberi kuasa kepada Pesuruhjaya Polis untuk memberi kelonggaran terhadap perintah yang dikenakan dna melalui perintah ini, kawasan yang dikenakan perintah adalah kawasan laut antara tiga batu nautika dari pantai sehingga ke sempadan perairan antarabangsa,” katanya.

Katanya lagi, masa yang dikuatkuasakan untuk perintah ini adalah dari jam 6 hingga 6 pagi saja.

“Dari jam 6 pagi hingga 6 petang, adalah dikecualikan dari perintah berkurung dan boleh dimasuki atau dilalui oleh semua orang.

“Kawasan laut dari pesisir pantai hingga ke jarak tiga batu nautika adalah dikecualikan sepenuhnya dari perintah berkurung,” katanya.