Polis Sabah Akan Benarkan Pergerakan Lebih 10km

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PUTATAN: Polis Sabah akan meminta kerajaan memberi kelonggaran bagi membenarkan pergerakan dalam radius lebih 10km sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, cadangan memberi kelonggaran ini akan dibawa dan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Bencana Negeri dalam masa terdekat.

Beliau berkata, kelonggaran ini perlu setelah mengambil kira kawasan Sabah yang agak besar dan kawasan pedalaman perlu bergerak merentas daerah melebihi 10km bagi membeli barangan keperluan.

Katanya, misalnya di Tongod, mereka perlu merentas daerah pergi ke Telupid untuk membeli barangan, jadi jaraknya sudah melebihi radius 10km.

“Di Sabindo ini juga mereka terpaksa ke Putatan untuk membeli barang keperluan asas jadi wajarlah mereka boleh bergerak ke sana. Untuk ke Pekan Papar lebih jauh jadi, mereka terpaksa ke Putatan.

“Saya sudah meminta Ketua Polis Daerah untuk memberi kelonggaran. Bagaimanapun, prosedur operasi standard (SOP) dua orang dalam satu kenderaan masih perlu dipatuhi.

“Untuk itu, bawa pengesahan alamat kediaman seperti bil air atau bil elektrik bagi membuktikan tempat tinggal anda,” katanya ketika ditemui semasa memantau Sekatan Jalan Raya (SJR) berhampiran Kuil Sri Subramaniar Lokkawi, hari ini.

Hazani berkata, ketika ini kelonggaran rentas daerah masih diberikan. Namun, bermula Sabtu (16 Jan), pergerakan rentas daerah perlu mendapatkan surat kebenaran daripada PDRM.

Dalam pada itu, beliau turut menyokong cadangan menaikkan kadar kompaun daripada RM1,000 kepada jumlah tertentu kerana didapati kompuan RM1,000 tidak memberi kesan kepada masyarakat yang masih berdegil dan tidak mematuhi SOP.

“Kita juga mencadangkan bagi kesalahan berulang supaya pesalah terus ditangkap. Kalau ditegur tidak dengar dan dikompaun juga tidak diendahkan kerana mampu membayar RM1,000 maka, tindakan lebih tegas perlu diambil,” ujarnya.

Mengenai sekatan jalan raya (SJR), beliau berkata, sebanyak 53 SJR dilaksana seluruh Sabah sepanjang PKP. Manakala, dua SJR dilaksana di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Timbang Dayang, Kota Belud dan 10 sekatan di Op Benteng Pantai Timur.

SJR ini melibatkan kira-kira 5,000 anggota PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).  Kekuatan anggota polis sahaja terdiri daripada 1,980 orang.

Dalam masa sama, 260 pasukan pemantau pematuhan SOP turut digerakkan dan mereka akan melaksana penguatkuasaan SOP sepenuhnya.

“Tiada lagi tolak ansur dan kompromi akan diberikan kerana kita mahu mendisiplinkan masyarakat Sabah agar lebih peka dengan SOP.

“Oleh itu, masyarakat Sabah yang terlibat dengan PKP supaya lebih peka dan cakna kepada SOP. Jika tiada keperluan, tidak perlu keluar rumah dan berjalan-jalan.

“Namun, aktiviti riadah seperti jogging dan berbasikal dibenarkan di kawasan tempat tinggal masing-masing mengikut SOP ditetapkan,” jelasnya.

Turut hadir adalah Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superitendan Mohd Haris Ibrahim.