Polis Rampas Rokok Seludup RM3.4 Juta Di Tawau

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas 239,700 bungkus rokok kretek bernilai RM3.4 juta ringgit selepas cukai dalam Ops Benteng Covid di Jalan Sri Aman, Batu 3, di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian pukul 4.30 pagi itu, polis turut menahan seorang lelaki warga Filipina pemegang kad IMM13 berumur 38 tahun yang bertindak sebagai tonto aktiviti penyeludupan berkenaan.

Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau, Superintenden Mohd. Yacob Murad berkata, terdahulu pihaknya melakukan pemantauan di lokasi kejadian selepas menerima maklumat risikan berhubung aktiviti penyeludupan itu.

“Ketika pemerhatian dilakukan, polis ternampak kelibat seorang lelaki yang memegang walkie-talkie dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan, lelaki berkenaan yang tinggal di kawasan berhampiran disyaki tonto memantau pergerakan keluar masuk kenderaan di situ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, polis kemudian meneruskan pemeriksaan di kawasan sekitar dan tiba di sebuah premis tidak bernombor di Lorong Sri Aman Batu 3, Jalan Apas yang berkunci di bahagian hadapan.

“Serbuan dilakukan ke atas premis berkenaan berjaya menemui beberapa kotak berwarna coklat mengandungi rokok seludup pelbagai jenama.

“Turut ditemui sebuah van berwarna putih dipercayai digunakan untuk membawa rokok seludup berkenaan,” katanya.

Semua rokok dan barangan berkaitan termasuk van dan telefon bimbit dianggarkan bernilai RM3.47 juta dirampas bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, menurut sumber, semua rokok tersebut dipercayai milik seorang lelaki yang bergiat aktif dengan aktiviti penyeludupan di daerah ini.

Semua rokok tersebut dipercayai untuk pasaran dalam dan luar Tawau termasuk Keningau dan Lahad Datu.