Polis Rampas Minuman Keras Tanpa Cukai Bernilai RM1.9 Juta

ZAINI menunjukkan minuman keras yang berjaya dirampas polis minggu lalu.

Oleh NORA AHMAD
KOTA KINABALU: Polis berjaya merampas tujuh kontena berisi minuman keras dipercayai tanpa cukai bernilai RM1.9 juta dalam tiga serbuan berasingan minggu lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, seramai tujuh individu termasuk seorang wanita turut ditahan sepanjang serbuan itu.

Menurut Zaini, serbuan pertama dilakukan pada 23 Jun oleh sepasukan polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran di sebuah gudang di Kilometer 27 Jalan Telipok Lama.

“Dalam serbuan pada pukul 12.05 tengah hari itu, polis berjaya menemukan tiga kontena berisi 8,040 karton minuman keras pelbagai jenama disyaki tidak bercukai.

“Turut ditahan dua lelaki masing-masing berusia 25 dan 34 tahun berperanan sebagai penjaga dan penyelia gudang bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Majlis Pelupusan Barang Kes Perjudian Siber IPD Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Katanya lagi, serbuan kedua dan ketiga dilakukan pada 29 Jun di kawasan lapang Jalan Kilang, Kolombong dan Jalan Tuaran Bypass, Kota Kinabalu.

“Serbuan pertama dibuat pada pukul 4.10 petang selepas sebuah kontena didapati tiada pemilik dan hasil pemeriksaan lanjut menemui 2,600 karton minuman keras dipercayai tidak bercukai.

“Serbuan terakhir pada pukul 6.15 petang, polis berjaya merampas tiga kontena yang mengandungi sebanyak 7,680 minuman keras pelbagai jenama dipercayai tidak bercukai.

“Turut ditahan tiga pemandu lori kontena berusia antara 37 hingga 67 tahun dan susulan daripada tangkapan itu, seorang lelaki berusia 45 tahun dan seorang wanita berusia 32 tahun ditahan kerana berperanan dalam urusan dokumentasi kontena,” katanya.

Menurut Zaini, jumlah keseluruhan rampasan adalah sebanyak 18,320 karton minuman keras dipercayai tanpa cukai bernilai RM1.9 juta.

“Dipercayai semua rampasan berkenaan mempunyai kaitan dan minuman keras terbabit dipercayai dibawa masuk dari luar negara.

“Bagaimanapun, kes masih dalam siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.