Polis Rampas 2 Bekakuk, Tahan 7 PATI

Oleh ARDYHANSAH AMAT
LAHAD DATU: Seramai 12 individu ditahan termasuk tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam satu operasi di Simpang Tamoi, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor, berkata, semua suspek yang ditahan terdiri daripada tujuh lelaki, tiga wanita dan dua kanak-kanak berumur antara empat hingga 62 tahun.

“Dalam kejadian pukul 9 malam itu, semua suspek menaiki dua kenderaan iaitu sebuah lori Isuzu (lapan orang) dan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux (empat orang) dalam perjalanan dari Kampung Tempias, Ranau untuk berpindah kerja sebagai buruh ladang di Tungku.

“Bagaimanapun, tindakan mereka itu berjaya dihidu polis selepas kenderaan mereka dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan di lokasi berkenaan,” katanya kepada media.

Tambah Nasri, daripada 12 suspek tersebut hanya lima individu mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah, manakala selebihnya terdiri daripada tiga lelaki, dua wanita dan dua kanak-kanak adalah Pati warga Indonesia.

“Selain itu, pemeriksaan lanjut yang dilakukan polis ke atas pacuan empat roda yang dinaiki empat suspek berjaya menemukan dua laras senapang buatan sendiri atau bakakuk disimpan dalam kenderaan terbabit.

“Sehubungan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 55 E Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini secara haram, dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki bakakuk,” katanya.

Nasri berkata, siasatan sedang dilakukan ke atas pemilik ladang di Tungku berkaitan pengambilan pekerja PATI sebagai buruh.