Polis Penampang Nafi Gambar Lokap Yang Tersebar

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
PENAMPANG: Polis  menafikan gambar tular di media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp yang memaparkan beberapa individu di daerah ini ditangkap kerana degil dan enggan mematuhi peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, Polis Penampang menafikan sekeras-kerasnya gambar yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook Faizal Hussin kerana gambar tersebut bukanlah berlaku di lokap Balai Polis Penampang.

“Polis Penampang menafikan sekeras-kerasnya mengenai hantaran yang dimuat naik melalui FB oleh individu itu.

Gambar yang tukar di media sosial.

“Ia bukanlah berlaku di lokap Balai Polis Penampang seperti yang didakwa oleh pemilik akaun Facebook terbabit,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Mohd Haris berkata, pihaknya telah terkesan mengenai penularan beberapa imej yang memaparkan situasi tahanan dalam lokap berkenaan kerana ia menyebabkan ketakutan dan kegentaran kepada orang awam dalam situasi ketika negara dilanda wabak Covid-19.

“Individu yang memuat naik hantaran itu sudah dikenal pasti seorang lelaki berusia 40-an warga tempatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM)1998,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Haris turut menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan kenyataan palsu yang boleh mencemarkan imej pihak berkuasa dan menggugat ketenteraman awam.

Terdahulu, beberapa keping gambar tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp sejak semalam, memaparkan situasi dalam lokap yang tidak diketahui lokasi dan terdapat orang berada di dalam lokap berkenaan.