Polis Narkotik Rampas Dadah Bernilai Hampir RM100,000

Zaini (tiga kanan) bersama pegawai polis kanan lain menunjukkan paket minuman pelbagai jenama yang berisi serbuk dadah berbahaya.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Cubaan mengaburi mata pihak berkuasa dengan meletakkan dadah dalam paket minuman pelbagai jenama berjaya dikesan apabila suspek ditahan bersama bungkusan yang mengandungi pelbagai jenis dadah di Kampung Air, di sini pada 12 Julai.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Sabah menahan seorang lelaki tempatan dan merampas serbuk dadah berbahaya seberat 1,746 gram, dadah jenis ketamin seberat 103.4 gram dan pil ecstasy sebanyak 300 biji dengan berat 97 gram.

Tangkapan ke atas lelaki tempatan berusia 24 tahun yang berasal dari Sarawak dan bekerja sebagai tukang masak restoran di Miri itu dilakukan pada 12.30 tengah malam di Kampung Air.

“Semasa ditahan suspek sedang memegang satu beg plastik hitam saiz sederhana besar yang mengandungi dua bungkusan plastik minuman berjenama Indocafe Coffee Mix 3in1 bersaiz besar dan sederhana.

“Di dalam bungkusan plastik pertama, ia mengandungi 20 paket kecil minuman 3in1 Indocafe Coffee Mix berisi serbuk kopi serta 50 paket kecil minuman pelbagai perisa mengandungi serbuk disyaki dadah jenis berbahaya. Anggaran berat kasar dadah jenis berbahaya itu adalah sebanyak 1,746 gram.

“Dalam bungkusan plastik kedua, terdapat 33 paket kecil Indocafe Coffee Mix. Daripada jumlah itu, 24 paket berisi serbuk kopi, empat paket mengandungi dadah jenis ketamin seberat 103.4 gram dan selebihnya paket mengandungi pil ecstacy sebanyak 300 biji dengan berat sebanyak 97 gram,” katanya dalam Sidang Media, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di sini pada Isnin.

Plastik yang digunakan bagi mengisi paket minuman pelbagai jenis yang diisi dengan serbuk dadah.

Beliau berkata, kesemua rampasan dadah itu dianggarkan bernilai RM42,500.

Zaini berkata, siasatan lanjut mendapati suspek memperoleh bekalan dadah daripada seorang lelaki tempatan di Miri, Sarawan dan cuba menyeludup masuk dadah ke Bandaraya Kota Kinabalu melalui pengangkutan udara.

“Kita masih menjalankan siasatan dan risikan bagi mengesan pembekal dadah berkenaan,” jelasnya.

Suspek yang didapati positif dadah itu ditahan reman sehingga 18 Julai ini. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kes berasingan, JSJN Kota Kinabalu berjaya menahan seorang lelaki warga Filipina dan merampas serbuk dadah berbahaya seberat 165 gram, dadah jenis syabu seberat 226gram dan dadah jenis ketamin seberat 66 gram dalam serbuan di sebuah apartmen di Manggatal pada tarikh yang sama (12 Julai).

“Ketika serbuan, polis menjumpai sebuah beg kain yang berisi lapan paket plastik warna hitam yang mengandungi serbuk dadah jenis berbahaya dengan anggaran berat 165 gram. Suspek kemudian membawa polis ke apartmen berlainan di kawasan yang sama.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui sebuah bungkusan plastik yang mempunyai lapan paket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis syabu dianggarkan seberat 226 gram. Turut dijumpai sebuah kotak yang berisi dua paket plastic lutsinar mengandungi dadah jenis ketamin dengan anggaran berat 66 gram.

“Kesemua rampasan dadah ini bernilai RM46,840,” ujarnya.

Suspek adalah seorang lelaki warga Filipina berusia 41 tahun dan bekerja sebagai buruh.

Zaini berkata, siasatan awal mendapati suspek memperolehi bekalan dadah daripada seorang lelaki warga asing di Semporna dan cuba menyeludup dadah masuk ke Bandaraya Kota Kinabalu melalui pengangkutan darat.

Suspek ditahan reman selama tujuh hari, bermula 13 hingga 19 Julai.

“Siasatan dan risikan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan pembekal dadah berkenaan. Kes ini disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan dikenakan sebatan (Pindaan 15 Mac 2018),” ujarnya.