Polis Nafi Ada Perintah Berkurung Di Daratan ESSZONE

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah menepis dakwaan yang tular mengenai arahan perintah berkurung membabitkan kawasan daratan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pengisytiharan perintah berkurung di kawasan ESSZONE hanya melibatkan kawasan perairan tiga batu nautika dari darat dan bukannya perintah berkurung di daratan seperti yang ditularkan dalam media sosial baru-baru ini.

Beliau berkata, tujuh daripada 10 kawasan ESSZONE yang dikenakan perintah berkurung itu ialah Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Beliau menolak dakwaan mesej tular dalam media sosial dan aplikasi Whatsapp yang menyatakan semua penduduk di kawasan ESSZONE dikehendaki berada di rumah bermula jam 6 petang sehingga 6 pagi sepanjang pelaksanaan tempoh perintah berkurung berkuat kuasa iaitu daripada 10 hingga 25 Mei.

“Info grafik yang digunakan memberi gambaran perintah berkurung yang berkuat kuasa melibatkan orang di daratan sedangkan arahan sebenar hanya membabitkan kawasan perairan.

“Turut digunakan di dalam info grafik tersebut adalah logo Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

“Justeru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang telah ditularkan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, perintah berkurung yang bermula 10 hingga 25 Mei di kawasan ESSZone itu melibatkan kawasan tiga batu nautika dari darat membawa ke sempadan antarabangsa bagi daerah Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau sahaja.

Jauteh berkata, mana-mana orang yang ingin memasuki kawasan tersebut perlu memohon permit yang dikeluarkan oleh pihak polis.

Maka, tidak timbul isu bahawa semua penduduk di daerah ESSZone dikenakan perintah berkurung dan dikehendaki berada di rumah mulai pukul 6 petang hingga 6 pagi bermula 10 hingga 25 Mei ini.

Tambahnya, satu laporan polis telah diterima berkaitan mesej yang ditularkan ini dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan bersama Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan apa juga berita yang tidak sahih atau palsu bagi mengelak dikenakan tindakan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.