Polis Marin Tahan Sebuah Bot Di Pulau Manukan

164
Pasukan Polis Marin memeriksa bot nelayan yang menjalankan aktiviti penangkapan ikan di kawasan larangan.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Sebuah bot nelayan ditahan di perairan Pulau Manukan atas kesalahan menangkap ikan di kawasan larangan (harbour limit), di sini pada Jumaat.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, bot nelayan jenis tunda berkenaan didapati menangkap ikan di kawasan perairan Pulau Manukan pada jarak kurang tiga batu nautika dari persisiran pantai. Bot itu juga menjalankan aktiviti penangkapan ikan di kawasan larangan.

“Ketika rondaan PPM dalam Ops Gelora itu mendapati bot nelayan berkenaan sedang leka menangkap ikan di kawasan persisiran pantai Pulau Manukan.

Antara hasil tangkapan ikan yang dirampas.

“Walhal jelas dalam syarat lesen menyatakan jarak menangkap ikan yang dibenarkan adalah tiga batu nautika dari kawasan persisiran pantai,” ujarnya.

Hasil pemantauan mendapati, modus operandi bot nelayan itu adalah menangkap ikan berhampiran persisiran pantai secara bergelap dengan memadamkan semua lampu bot bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Tangkapan dan rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Kota Kinabalu sebelum diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut.

Kes ini disiasat dibawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat-syarat lesen.