Polis Marin Tahan Kapal Indonesia Seludup Masuk Kayu Bergergaji Bernilai RM260,000

73
Pemeriksaan dijalankan ke atas kapal Indonesia yang disyaki menyeludup masuk kayu tanpa dokumen import yang dibenarkan.

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau menahan sebuah kapal Indonesia yang membawa masuk kayu bergergaji jenis Armara sebanyak 150 batang dengan nilai mencecah RM260,000, di perairan Sungai Pukul, Tawau, di sini pada Khamis.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, kapal kayu Indonesia itu ditahan dalam operasi ‘Op Gelora’ pada 9.30 pagi.

Beliau berkata, kapal kayu yang juragani seorang warga Indonesia, Ali Abdul Majid, 39, bersama tiga orang anak kapal yang baru tiba dari Indonesia itu ditahan untuk diperiksa oleh polis marin.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat muatan kayu bergergaji jenis Armara sebanyak lebih kurang 150 batang pelbagai saiz di dalam kapal berkenaan.

Pasukan Polis Marin Tawau memeriksa kapal yang membawa masuk kayu bergergaji dari Indonesia.

“Pemeriksaan dokumentasi awal mendapati, juragan gagal mengemukkan sebarang dokumen sijil pendaftaran pengimport dan lesen import untuk membawa barang tersebut.

“Juragan telah diterangkan dengan bahasa mudah tentang kesalahan yang dilakukan dan juragan mengakui kesalahan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Jumaat.

Mohamad Pajeri berkata, juragan dan kapal yang digunakan di bawa ke pangkalan Polis Marin Tawau untuk tindakan lanjut.

Juragan berkenaan disyaki melakukan kesalahan dibawah Enakmen Hutan Negeri Sabah 2015.