Polis Marin Tahan Juragan, 4 Imigran Cuba Seludup Masuk Perairan Di Tawau

66
Juragan bersama empat imigran warga Filipina yang ditahan ketika cuba seludup masuk perairan Tawau.

TAWAU: Pasukan Polis Marin mematahkan satu lagi cubaan menyeludup masuk imigran Filipina apabila berjaya menahan sebuah bot pam di perairan Tinagat, Tawau, di sini pada Selasa.

Ia merupakan kejayaan kedua polis marin dalam tempoh tiga hari ini selepas kejayaan menahan lapan imigran Filipina yang cuba diseludup masuk di Pulau Sisipan, Semporna pada Ahad.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah Asisten Komosioner Mohamad Pajeri Ali berkata, bot yang dijuragani lelaki warga Filipina berusia 63 tahun itu ditahan pada 9.30 malam Selasa.

Beliau berkata, juragan itu didapati mengenakan bayaran RM400 kepada setiap imigran berkenaan.

Bot pam yang digunakan bagi menyeludup masuk imigran Filipina.

”Hasil pemeriksaan lanjut dan dokumentasi awal mendapati kesemua penumpang lelaki yang datang dari Filipina itu membayar sejumlah RM400 setiap seorang kepada juragan berkenaan.

”Juragan serta semua penumpang lelaki berusia antara 27 hingga 47 tahun itu ditahan dan dibawa ke pangkalan markas Operasi Pasukan Polis Marin Tawau untuk tindakan selanjutnya.

”Turut dirampas adalah sebuah perahu dan dua buah enjin pam serta barangan peribadi mangsa yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM3,000,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Selasa.

Mohamad Pajeri berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana menjalankan kegiatan penyeludupan migran.