Polis Marin Tahan Bot Pukat Tunda Langgar Syarat Lesen

LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu menahan sebuah bot nelayan jenis pukat tunda yang didapati menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan.

Tangkapan yang dibuat melalui “Op Benteng Covid” di kawasan perairan Sungai Meruap, Tambisan itu membabitkan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM 75,900.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Lahad Datu, Superitendan Gan Ping Sin berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas bot nelayan tersebut didapati juragan bot menangkap ikan di kawasan perairan Sungai Meruap, iaitu kawasan yang tidak dibenarkan menangkap ikan

“Dalam kejadian 9 pagi semalam, pihak kami merampas pelbagai jenis ikan dianggarkan berat 30kg, sebuah kapal pukat tunda serta peralatan kapal berjumlah RM 75,900.

“Kita tidak akan berkompromi terhadap kesalahan-kesalahan yang dilakukan kerana aktiviti menangkap ikan oleh bot-bot nelayan jenis pukat tunda secara berdekatan dengan persisiran pantai serta di sungai adalah sangat berbahaya kepada nelayan-nelayan kecil dan juga terhadap ekosistem ikan dan batu karang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya, PPM juga telah menasihati pengguna laut tentang peraturan-peraturan perikanan yang perlu dipatuhi ketika melakukan aktiviti perikanan.

Tangkapan dan rampasan dibawa ke jeti Markas PPM Pulau Tambisan sebelum diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut. Kes ini disiasat dibawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat-syarat lesen.

Ping Sin berkata, pihaknya menggalakkan masyarakat persisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan apa-apa maklumat melalui aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah di nombor ‘0132831197’ atau berhubung ke Gerakan PPM Lahad Datu di talian ‘0139808084’ bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga dan terkawal.