Polis Marin Tahan 4 Filipina, Rampas Rokok Bernilai Lebih RM16,000

Rampasan rokok yang bernilai lebih RM16,000 dibawa ke pangkalan Markas Pasukan Polis Marin Lahad Datu.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
SANDAKAN: Cubaan tiga lelaki dan seorang wanita warga Filipina yang cuba memasuki perairan Pulau Nunuyan, Sandakan berjaya ditahan Pasukan Polis Marin, di sini pada Khamis.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, kesemua suspek berusia 16-41 tahun itu ditahan ketika operasi ‘Op Pensura’ yang dilakukan bot peronda PSC13 pada 4.30 petang Khamis di perairan berkenaan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua bot dinaiki warga Filipina itu mendapati keempat-empat mereka gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah. Kesemua mereka dibawa ke pangakalan Markas Operasi Pasukan Polis Marin Sandakan untuk tindakan selanjutnya.

Tiga lelaki dan seorang wanita warga Filipina dibawa ke pangkalan Markas Pasukan Polis Marin Sandakan untuk tindakan lanjut.

Nilai rampasan termasuk bot pam dianggarkan berjumlah RM5,600.

Kes disiasat dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam kes berasingan di Lahad Datu, Unit Risikan Marin (URM) berjaya merampas 7,850 bungkus rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM16,750.

Rampasan itu dilakukan pada 8.30 malam Rabu ketika URM sedang melakukan tugas risikan dan mencari maklumat di kawasan Kampung Desa Bajau, Lahad Datu.

Mohamad Pajeri berkata, ketika menjalankan risikan, URM terlihat sekumpulan lelaki dalam keadaan mencurigakan dan apabila dihampiri sepasukan URM, kesemua lelaki itu melarikan diri ke kawasan sekitar.

Longgokan bungkusan plastik hitam berisi rokok yang ditemui di Kampung Desa Bajau, Lahad Datu.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa longgokan bungkusan plastik hitam.

“Pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan plastik itu berisi pelbagai jenis rokok yang dipercayai tidak bercukai.

“Barang-barang rampasan dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Kes itu disiasat dibawah Akta Kastam 1967.