Polis Marin Tahan 2 Kapal Vietnam Di Sandakan; Rampas RM1.62 Juta

120
Antara kru kapal nelayan Vietnam yang ditahan dalam Ops Pensura Khas di Pulau Langkayan, Sandakan.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
SANDAKAN: Pasukan Polis Marin berjaya menahan dua buah kapal nelayan asing Vietnam selepas hampir 30 minit aksi kejar mengejar berlaku di perairan Pulau Langkayan.

Kapal nelayan yang menceroboh dan menjalankan aktiviti perikanan di perairan negara itu ditahan semasa pasukan peronda Polis Marin menjalankan ‘Op Pensura Khas’ pada 9.45 pagi Selasa.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, ketika diperiksa dua buah kapal nelayan asing Vietnam dengan nombor pendaftaran CM/91254/TS dan CM/95180/TS itu dinaiki kru kapal yang terdiri daripada 10 orang lelaki warga Vietnam berumur antara 20 tahun hingga 40 tahun.

Menurutnya, apabila diminta untuk berhenti oleh pasukan peronda, kapal nelayan Vietnam tersebut tidak memberi kerjasama malahan telah cuba melanggar sisi sebelah kanan bot peronda Polis Marin sehingga boleh mendatangkan ancaman nyawa dan juga aset kerajaan.

“Aksi kejar mengejar telah berlangsung lebih kurang setengah jam sehingga akhirnya juragan kapal memberhentikan kapal mereka dan menyerah diri.

Nelayan warga Vietnam yang ditahan kerana menceroboh masuk perairan negara bagi menangkap ikan.

“Hasil pemeriksaan mendapati juragan kapal tersebut telah menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 25(a) Akta Perikanan 1985 atas kesalahan menggunakan kapal nelayan asing bagi menceroboh masuk perairan Malaysia.

“Selain itu, mereka boleh disabitkan dibawah Seksyen 11(3)(b) Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan peralatan perikanan yang tidak dilesenkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Rabu.

Mohamad Pajeri berkata, juragan dan kru kapal juga tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah untuk berada di Malaysia dan boleh didakwa dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Kapal nelayan bersama peralatan yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM1.62 juta ditahan dan diiringi masuk ke pangkalan Markas Operasi Pasukan Polis Sandakan untuk tindakan selanjutnya.

Beliau juga menegaskan Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah sentiasa mengatur gerak aset pasukan bersama pegawai dan anggotanya bagi menjalankan rondaan dan operasi di perairan bagi memastikan perairan negara selamat dan tidak sewenang-wenangnya diceroboh oleh anasir-anasir luar yang mengaut hasil perikanan negara dengan cara yang menyalahi undang-undang.

Katanya, Pasukan Polis Marin Sabah akan terus memerangi pencerobohan nelayan asing di perairan Sabah khususnya.

Beliau juga berharap masyarakat nelayan setempat juga dapat berkerjasama menyalurkan sebarang maklumat untuk membanteras pencerobohan nelayan asing yang merugikan negara.