Polis Marin S’kan Rampas Produk Tidak Berdaftar KKM Bernilai RM47K

205
Mohamad Pajeri menunjukkan produk yang dirampas dalam Ops Landai berkenaan.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
SANDAKAN: Cubaan memasarkan produk kesihatan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berjaya dipatahkan apabila Pasukan Polis Marin merampas sejumlah 9,516 produk yang bernilai RM47,580 di sekitar Sandakan, pada Rabu.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, kesemua produk yang disyaki mengandungi racun berjadual dan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan itu dirampas ketika polis marin menjalankan operasi Ops Landai pada pagi Rabu.

Beliau berkata, antara yang dirampas adalah ubat-ubatan tradisional China pelbagai jenama.

Menurutnya, operasi itu dijalankan hasil maklumat risikan oleh Unit Risikan Marin (URM) berikutan rampasan produk tidak berdaftar di negeri ini yang semakin berleluasa penjualannya.

“Semua bahan terlarang itu dirampas dalam satu serbuan di daerah ini. Ia membabitkan sebuah lori jenis Isuzu di tepi jalan kawasan Hsiang Garden, Bandar Ramai-Ramai.

Pasukan Polis Marin berjaya menahan dua suspek yang dipercayai pemilik produk tidak berdaftar dengan KKM.

”Turut ditahan dua orang lelaki warga tempatan berusia 36 dan 63 tahun yang disyaki sebagai pemilik ubat-ubatan berjenama Lin-Zi Chongsuntan, jenama Lin-Zi Chuang- Yao Wan, jenama Senchow Tan dan jenama Ginseng Jin Fui Wan.

”Mereka ditahan ketika sedang memunggah ubat-ubatan ke dalam lori berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Khamis.

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan beberapa pihak yang dipercayai terbabit dan menyimpan produk yang disyaki mengandungi racun.

Beliau percaya kegiatan itu dijalankan oleh sindiket yang menyimpan serta mengedar produk berkenaan kepada peniaga di sekitar Sandakan serta ke beberapa daerah lain.

Produk tidak berdaftar dengan KKM yang dimuatkan dalam beg plastik.

”Pihak polis sedang mengesan dalang sindiket terbabit.

”Kes ini disiasat mengikut Akta Farmasi 1951 iaitu pelanggaran (7) (1)(a) Kesalahan Peraturan 30(1) Dibawah Peraturan Kawalan Dan Kosmetik 198. Jika sabit kesalahan boleh didenda dibawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952,” ujarnya.

Dengan itu, beliau memberi amaran kepada peniaga supaya mematuhi peraturan dengan tidak menjual produk tidak berdaftar dengan KKM.

Beliau juga meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penjualan ubat-ubatan tidak berdaftar supaya menghubungi pihak polis untuk tindakan selanjutnya.