Polis Marin Rampas Barangan Tiruan Bernilai RM35k Di Sandakan

Barangan tiruan pelbagai jenis dan saiz yang berjaya dirampas Pasukan Polis Marin Sandakan.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
SANDAKAN: Pasukan Polis Marin Sandakan berjaya merampas barangan tiruan pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM34,769 dalam satu operasi di Jalan Pryer Bandar Sandakan, di sini pada Ahad.

Komander Polis Marin Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, dalam operasi itu, sebanyak 556 utas jam tangan, 197 kaca mata dan 42 utas tali pinggang pelbagai jenama telah dirampas.

“Pasukan Polis telah menyerbu sebuah premis yang dipercayai dijadikan tempat penyimpanan dan tempat menjalankan perniagaan.

“Hasil pemeriksaan, polis marin menemui sejumlah jam tangan, kaca mata dan tali pinggang pelbagai saiz dan jenama yang disyaki barang tiruan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati barangan berkenaan dijual kepada pelanggan di sekitar Sandakan secara borong dengan harga serendah RM10.

Nilai rampasan keseluruhan barangan itu dianggarkan sejumlah RM34,769. Turut ditahan seorang lelaki warga tempatan berusia 76 tahun disyaki pemilik barangan berkenaan.

Mohamad Pajeri (tengah) menunjukkan barangan tiruan yang dirampas dalam operasi di Sandakan.

Menurutnya, kesemua barang rampasan dibawa ke markas Operasi Pasukan Polis Marin Sandakan untuk siasatan lanjut.

Mohamad Pajeri berkata, pihaknya memandang serius peniaga-peniaga yang menggunakan Perihal Dagangan Palsu ke atas barangan-barangan berjenama yang melanggar undang-undang di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

“Peniaga perlu tahu akan kesalahan yang melibatkan suatu perihal dagangan termasuklah suatu petunjuk, sama ada secara langsung atau tidak langsung dan yang diberikan dengan apa-apa cara berkenaan dengan apa-apa barang yang berhubung dengan cap dagangan yang berdaftar di bawah Akta Cap Dagang 1976,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 8 (2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu mana-mana orang yang membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan apa-apa barang yang baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan seolah-olah barang-barang itu tertakluk kepada apa-apa hak yang berhubungan dengan cap dagangan berdaftar.