Polis Marin Rampas 600 liter Petrol Cuba Diseludup ke Filipina

Oleh SURAIDAH ROSLAN
SANDAKAN: Cubaan menyeludup minyak petrol ke negara jiran berjaya dipatahkan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan dalam tiga operasi berasingan di kawasan Batu 3, di sini pada Selasa.

Komander Wilayah 4 PPM Sabah Mohamad Pajeri Ali berkata, dalam ketiga-tiga operasi itu, PPM berjaya merampas 600 liter minyak petrol dalam jeriken dan sebuah kereta pacuan empat roda dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM61,248.

“Operasi rampasan itu dilakukan pada 11.15 malam Isnin ketika sepasukan Unit Risikan Marin PPM Sandakan bertugas membuat pemantauan dan turut pemeriksaan terhadap sebuah kereta pacuan empat roda yang di parkir di tepi sebuah parit besar.

“Unit risikan kemudian menemukan 20 jeriken berisi minyak petrol dipercayai cuba di seludup ke Filipina.

“Hasil pemeriksaan dan siasatan lanjut, pemandu kereta menyatakan tidak mempunyai permit atau surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Dengan itu, tangkapan dan rampasan terus dilakukan,” katanya dalam Sidang Akhbar, di sini pada Selasa.

Dalam operasi itu, seorang lelaki tempatan berumur 27 tahun turut ditahan selepas mengaku memiliki minyak petrol berkenaan.

Kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan, jika sabit kesalahan boleh didenda RM1juta dan dihukum penjara sehingga tiga tahun.