Polis Marin Rampas 2,000 Biji Telur Penyu; 200kg Kerang Hidup

353

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk 2,000 biji telur penyu melalui jalan laut dekat Batu 2 1/2 di sini petang semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah  ACP Mohamad Pajeri Ali berkata dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, sepasukan anggota PPM Sandakan yang membuat intipan dan pemantauan ketika menjalankan Operasi Pensura di kawasan itu, telah mengesan beberapa lelaki dalam keadaan mencurigakan berada di sebuah tempat pemunggahan hasil laut yang tidak diwartakan.

“Sebaik menyedari kehadiran polis, beberapa lelaki bertindak melarikan diri ke kawasan hutan bakau dan gagal dikesan,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Katanya lagi, pemeriksaan lanjut mendapati 2,000 biji telur penyu disembunyikan di dalam kotak polisterin dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran dan dianggarkan bernilai RM4,000.

“Semua barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan dan kes disiasat di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997,” katanya.

PPM TAWAU RAMPAS 200 KG KERANG HIDUP SELUDUP DARI INDONESIA

DI TAWAU, Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau menahan seorang lelaki di perairan Batu 3 dekat sini selepas cuba menyeludup masuk 200 kilogram kerang hidup dari Indonesia untuk pasaran tempatan, pagi tadi.

Dalam kejadian 9 pagi itu, lelaki tempatan berusia 49 tahun, mengaku kerang berkenaan dibawa dari Kampung Tanjung Aru, Indonesia.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali dalam satu kenyataan hari ini berkata bot ronda PGR 16 yang sedang menjalankan operasi ‘Ops Gelora’ mengesan bot jongkong suspek sebelum ditahan dan pemeriksaan menemukan kerang hidup dalam ruangan bot.

“Juragan gagal menunjukkan dokumen atau surat kebenaran daripada Jabatan Perikanan untuk membawa hasil kerang itu yang dianggarkan bernilai RM600,” katanya.

Menurutnya, tangkapan serta rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat dibawah Akta Perikanan 1985.