Polis Marin Rampas 198,000 Batang Rokok Pelbagai Jenama

Pasukan Polis Marin Kudat bersama suspek dan rokok yang berjaya dirampas dalam operasi berkenaan.

KUDAT: Pasukan Polis Marin menggagalkan cubaan seorang lelaki tempatan mengedarkan rokok dipercayai tidak bercukai dalam operasi Ops Landai Khas yang dijalankan di Kampung Tanjung Kapor, di sini pada pagi Isnin.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, rokok pelbagai jenama yang tidak bercukai itu ditemui dalam sebuah kenderaan jenis Proton Saga FLX yang dipandu lelaki berusia 34 tahun.

“Ketika diperiksa kenderaan itu membawa sebanyak 990 bungkus atau 198,000 batang rokok jenama Premier Special Blend dan Era Black yang dipercayai tidak bercukai dengan nilai termasuk cukai sebanyak RM39,600.

Pemeriksaan ke atas kenderaan dinaiki suspek yang membawa rokok tidak bercukai.

“Turut dirampas adalah kenderaan Proton Saga FLX digunakan suspek serta beberapa barangan milik suspek yang bernilai RM32,100. Kesemua barangan rampasan bernilai RM71,700,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Isnin.

Tangkapan dan barangan rampasan dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Kudat untuk tindakan lanjut. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Dalam kes berasingan di Kota Kinabalu, Pasukan Polis Marin berjaya merampas 34 unit jeriken yang mengandungi 850 liter minyak petrol yang dipercayai cuba diseleweng ke Pulau Gaya pada Ahad (28 Julai).

Lori yang sarat dengan muatan petrol yang cuba diseleweng ke Pulau Gaya.

Mohamad Pajeri berkata, hasil maklumat Unit Risikan Marin, Pasukan Polis Marin berjaya menahan sebuah lori yang sarat dengan muatan petrol pada 2 petang Ahad.

“Risikan dan pemantauan dijalankan selama beberapa hari bagi mengenalpasti kegiatan penjualan minyak tanpa permit sekitar Kota Kinabalu.

“Hasil pemantauan (pada Ahad) terdapat seorang lelaki tempatan sedang menunggu dalam sebuah lori jenama Daihatsu berwarna putih di kawasan Pasar SAFMA di dalam keadaan mencurigakan.

“Apabila ruang penyimpanan barang bahagian belakang lori itu diperiksa, polis marin menemukan muatan petrol dalam 34 jeriken.

Pasukan Polis Marin menahan suspek yang dipercayai cuba seleweng minyak petrol.

“Ketika pemeriksaan, lelaki tersebut gagal menunjukkan dokumen kebenaran sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang membolehkan sebarang transaksi penjualan, penyimpanan dan pemindahan minyak dijalankan,” katanya.

Menurutnya, tangkapan dan rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi Pasukan Marin Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya.

Nilai keseluruhan rampasan bernilai RM31,768. Kes ini diserahkan kepada KPDNHEP untuk disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan Kawalan Bekalan.