Polis Marin Patahkan Cubaan Seludup Petrol dan Ubatan Haiwan Bernilai Hampir RM84,000

SEMPORNA: Cubaan menyeludup minyak Petrol dan ubat-ubatan haiwan bernilai hampir RM84,000 berjaya dikesan Pasukan Polis Marin di kawasan Pondohan Kuala Bibang, di sini petang semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna, Deputi Superitendan Mohammad Ismail berkata, semasa serbuan dilakukan di kawasan itu 7 petang semalam, empat lelaki kelihatan sedang memunggah barangan dari tiga bua bot laju ke dalam sebuah rumah.

Namun, apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa, semua suspek bertindak melarikan diri. Tetapi, salah seorang daripada suspek berjaya ditahan.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, PPM berjaya, merampas tiga bot laju, tiga enjin jenama Yamaha, 24 jerikin kosong, 21 jerikin berisi minyak petrol sebanyak 525 liter, tiga kotak berwarna coklat dipercayai barang-barang perubatan haiwan tanpa lesen.

Manakala, pemeriksaan ke atas sebuah rumah tidak bernombor yang dipercayai tempat memunggah dan menyimpan barang telah membawa kepada penemuan sekotak barang-barang perubatan haiwan tanpa lesen.

Mohammad berkata, suspek yang ditangkap dan barangan rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

Kes ini disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Veterinar 1974.

Tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada pihak KPDNHEP dan Jabatan Veterinar Semporna untuk siasatan lanjut.

PPM Wilayah 4 Sabah turut menyarankan seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan dan melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi whatsapp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0132831197.