Polis Marin Labuan Tumpas Sindiket Penyeludupan Minuman Keras

313

LABUAN: Polis Marin Labuan melumpuhkan sindiket penyeludupan menggunakan bot berkuasa tinggi dan merampas minuman keras seludup bernilai RM175,940 berhampiran perairan Menumbok, awal hari ini.

Menurut Timbalan Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah Supt Abd Nasir Othman sepasukan anggota polis marin yang sedang melakukan rondaan rutin di perairan Teluk Brunei mengesan bot laju yang sarat dengan muatan itu kira-kira 12.30 pagi.

“Pasukan kami mengekori bot itu yang memecut laju ke arah jeti Menumbok selama  25 minit tetapi juragan dan kru sempat melarikan diri selepas mereka terkandas di kawasan cetek di perairan Pulau Sarang Tiong, Menumbok,” katanya pada sidang media di Pangkalan Polis Marin Labuan di Patau-Patau di sini hari ini.

Nasir berkata bot dan enjin bernilai RM150,000 turut dirampas, menjadikan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM325,940.

Beliau percaya suspek melarikan diri ke dalam kawasan hutan bakau yang berhampiran.