Polis Marin Labuan, Sabah Catat Kejayaan Tangani Jenayah Maritim

LABUAN: Polis marin Labuan berjaya mematahkan  aktiviti  penyeludupan  melibatkan jumlah sitaan bernilai RM17 juta pada tahun lepas berbanding RM1.5 juta pada tahun 2018.

Komander polis marin Sabah (wilayah 4), ACP Mohamad Pajeri Ali berkata polis marin Labuan juga berjaya menggagalkan beberapa cubaan penangkapan ikan secara haram oleh nelayan asing dan pencerobohan pendatang asing tanpa izin.

“Polis marin Labuan telah menunjukkan prestasi yang lebih baik, berdasarkan kepada kes-kes maritim yang berjaya diselesaikan,” katanya kepada pemberita pada majlis penyampai sijil penghargaan daripada polis marin Labuan di pejabatnya, di sini hari ini. 

Beliau berkata penahanan sebuah kapal kargo dan sebuah kapal sokongan luar persisir yang membawa 38,000 liter minyak diesel yang bernilai RM15.2 juta, juga antara kejayaan pasukan polis marin Labuan.

Polis marin Labuan juga katanya mencatatkan 95 kes jenayah maritim pada tahun 2018 dan angka itu meningkat kepada 119 kes tahun lepas.

“Saya sangat berbangga dengan keseluruhan pencapaian… dan tiga anggota polis marin Labuan yang menerima sijil penghargaan masing-masing daripada Ketua Polis Negara di atas pencapaian yang cemerlang adalah bukti kejayaan itu,” katanya. 

 Mohamad Pajeri berkata polis marin Labuan juga tidak lama lagi akan menerima beberapa aset dan anggota tambahan bagi menangani jenayah maritim dengan lebih berkesan, termasuk di kawasan larangan  berdekatan pelantar minyak.

Setakat ini, polis marin Labuan mempunyai 31 kakitangan berbanding lebih 1,000 orang di Sabah.

Katanya, polis marin Sabah pada tahun ini akan memberi tumpuan untuk menangani tiga isu utama – penculikan bagi mendapatkan wang tebusan, penyeludupan di sekitar perairan Labuan dan Sabah dan pengeboman ikan.

“Demi mempertingkatkan keselamatan maritim di Sabah, kami diarah untuk menumpukan kepada isu berkenaan, terutama penculikan untuk mendapatkan wang tebusan dan pengeboman ikan yang hanya berlaku di perairan Sabah,” katanya.

Beliau berkata kerjasama dengan Jabatan Perikanan Labuan juga  akan ditingkatkan untuk menangani  masalah pencerobohan oleh nelayan pukat tunda haram dan nelayan asing. 

Polis marin Sabah dan Labuan katanya juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk mengendalikan  operasi bermula tahun ini, di samping kerjasama dengan Polis Marin Diraja Brunei bagi mengatasi jenayah rentas sempadan.

“Penglibatan pegawai SPRM di dalam operasi kami adalah untuk mengelak persepsi negatif masyarakat  terhadap operasi harian kami,” katanya.