Polis Marin Labuan Rampas Rokok Seludup Dalam Bot Penumpang Ke Menumbok

LABUAN: Polis Marin Labuan berjaya membuat dua rampasan rokok tidak bercukai pada pagi Khamis.

Rampasan pertama dibuat pada jam 10.45 pagi semasa bot ronda Polis Marin menjalankan rondaan ‘Op Landai’ di kawasan laut Terminal Feri Antarabangsa Labuan dan menahan sebuah bot penumpang dalam perjalanan dari Labuan ke Menumbok, Sabah.

Semasa pemeriksaan di bahagian bawah ruang bot telah menjumpai satu bungkusan plastik hitam mengandungi rokok jenama Era Light sebanyak 15 karton (3,000 batang) dan tiada sesiapa termasuk krew bot mengakui pemilikan barangan tersebut.

Rampasan kedua pada jam 1.00 petang hasil pemeriksaan ke atas bot penumpang yang ditahan yang dalam perjalanan dari Labuan ke Menumbok, Sabah dan menemukan 15 karton (3,000 batang) rokok jenama ‘Era Black’ di bahagian bawah ruang simpanan minyak petrol dan tiada sesiapa mengakui barangan tersebut milik mereka.

Barang rampasan dibawa balik ke pangkalan Markas Operasi Pasukan Polis Marin Labuan untuk tindakan lanjut.

Kes dirujuk ke Jabatan Kastam Labuan untuk siasatan lanjut.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali, berkata hasil pemeriksaan lanjut telah mendapati rokok tersebut cuba dibawa keluar dari Labuan tanpa menjelaskan cukai kastam dan tindakan rampasan adalah dibawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. Nilai rampasan keseluruhan termasuk cukai dianggarkan bernilai RM7,500.00.

Pajeri menambah Polis Marin Sabah dan Labuan akan sentiasa menerus dan meningkatkan operasi dari masa ke semasa untuk memastikan aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang dapat dibanteras.

Kerjasama serta penyaluran maklumat dari masyarakat setempat amat diperlukan.