Polis Marin Labuan Rampas Bot, Hasil Laut Bernilai RM164,500

66

Oleh SURAIDAH ROSLAN
LABUAN: Sebuah bot nelayan jenis pukat tunda bersama peralatan dan hasil laut dianggarkan bernilai RM 164,500 dirampas oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Persekutuan (WP) Labuan dalam Op Gelora yang dijalankan di Tanjung Kubong, Labuan, di sini pada Selasa.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, bot nelayan itu ditahan kerana melakukan kesalahan dibawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985, iaitu melanggar syarat lesen yang dikeluarkan kerana menggunakan mata pukat kurang daripada 38mm.

Beliau berkata, bot nelayan itu ditahan dan diperiksa pada 4.15 petang Selasa di kawasan laut Jahat Shoal pada jarak lebih kurang 17 batu nautika dari utara Tanjung Kubong, Labuan.

Bot itu dijuragani lelaki warga Indonesia yang berumur 35 tahun dan kru bot seramai lima orang berumur antara 28 hingga 35 tahun dan kesemuanya warganegara Indonesia.

“Ketika ditahan dan diperiksa pasukan peronda PPM, bot pukat tunda tersebut didapati melanggar syarat lesen dengan menggunakan mata pukat kurang daripada 38mm, iaitu kesalahan dibawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985.

“Dengan itu, bot berkenaan beserta dua gulung pukat dan hasil laut lebih kurang 500 kilogram ikan pelbagai jenis yang dianggarkan keseluruhannya bernilai RM 164,500 dirampas dan dibawa ke pangkalan Markas Operasi Pasukan Polis Marin Labuan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Rabu.

Kes itu akan diserahkan kepada Jabatan Perikanan WP Labuan untuk tindakan lanjut.

Mohamad Pajeri berkata, PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa mengatur gerak aset bot ronda bersama pegawai dan anggota bagi menjalankan rondaan dan operasi pencegahan jenayah di perairan Sabah demi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.

Justeru, beliau berharap masyarakat dapat memberi kerjasama dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah di perairan.