Polis Marin Labuan Patahkan Cubaan Seludup Arak

91

LABUAN: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar arak Royal Stout yang cuba dilarikan cukai bernilai RM5,400 dalam satu operasi di Sikalong, Menumbok, Jumaat.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah Mohamad Pajeri Ali berkata serbuan dalam operasi ‘Op Landai Khas’ di sempadan Labuan–Menumbok, Sabah, pada pukul 6.15 petang itu menyaksikan 45 kartun minuman beralkohol yang cuba diseludup keluar dari pulau bebas cukai Labuan.

“Bertindak atas maklumat orang ramai, pasukan kami menyerbu kawasan berhampiran sebuah kampung itu di mana kita berjaya merampas arak yang dipercaya dari Labuan.

“Semasa diserbu dua lelaki dilihat sibuk memunggah arak kedalam sebuah van di dalam belukar, bagaimanapun sebaik menyedari kehadiran pasukan kami, mereka melarikan diri ke kawasan belukar dan meninggalkan van serta arak itu. Kami percaya barang-barang itu adalah untuk pasaran di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.