Polis Marin Keluarkan Kompaun Kepada 24 Bot Atas Pelbagai Kesalahan

Pasukan Polis Marin menjalankan pemeriksaan ke atas bot pelancong.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
SEMPORNA: Sebanyak 24 bot pelancong dan penambang dikenakan kompaun dan saman atas pelbagai kesalahan ketika Operasi Khas Pasukan Polis Marin, di sini pada Jumaat.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, daripada 92 bot yang diperiksa di sekitar pelabuhan dan Terusan Menampilik, sebanyak 24 bot didapati melakukan pelbagai kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

“Antara kesalahan dilakukan adalah membawa penumpang melebihi had dibenarkan, kelengkapan peralatan keselamatan tidak lengkap termasuka tiada jaket keselamatan.

“Kesemua kesalahan dirujuk ke Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Sabtu.

Pasukan Polis Marin memeriksa dokumen bot pelancong di sekitar perairan Semporna dalam operasi berkenaan.

Operasi bagi menguatkuasakan akta dan peraturan dibawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Akta Polis 1967 dan Kanun Keseksaan itu dilakukan ke atas bot penumpang dan pelancong bermula dari 8 pagi hingga 12.30 tengahari (Jumaat).

Mohamad Pajeri berkata, operasi itu akan terus dilaksana bagi memastikan pengusaha bot sentiasa mematuhi peraturan demi keselamatan penumpang yang menaiki bot mereka.