Polis Marin Gagalkan Cubaan Pasar Telur Penyu & Petrol Tanpa Permit

131
Telur penyu yang dirampas di pasar Lahad Datu.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menggagalkan cubaan menjual telur penyu kepada orang awam di Pasar Lahad Datu, di sini pada Jumaat.

Rampasan 250 biji telur yang diangggarkan bernilai RM500 itu dilakukan hasil Unit Risikan Marin PPM Lahad Datu.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, hasil risikan itu di pasar rakyat itu, PPM menjumpai satu baldi cat berwarna putih dan satu bakul berwarna kuning di tempat penyembelihan ayam.

“Apabila diperiksa mendapati kedua-dua bekas itu berisi telur penyu yang dipercayai untuk pasaran tempatan.

Tong cat yang diisi dengan telur penyu yang cuba dipasarkan kepada orang awam.

“Kedua-dua bekas itu kemudian dirampas dan dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk proses dokumentasi sebelum diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

Kes itu disiasat mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Dalam kes berasingan di Wilayah Persekutuan Labuan, PPM Labuan berjaya merampas 1,170 liter minyak petrol yang dibawa menaiki sebuah lori tanpa permit yang sah dalam Op Landai Khas di Jalan Rancha-Rancha.

Mohamad Pajeri berkata, hasil pemeriksaan ke atas lori toyota satu tan itu menemukan mereka dengan 48 tong jeriken yang berisi 1,170 petrol di belakang lori berkenaan. Ia dianggarkan bernilai RM2,433.60.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu lori yang merupakan warga tempatan itu gagal menunjukkan permit kebenaran dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Bekalan minyak itu dipercayai untuk dijual semula dipasaran tanpa mempunyai sebarang permit yang sah,” katanya.

Lori yang membawa petrol yang ditahan dalam Op Landai Khas di WP Labuan.

Rampasan keseluruhan termasuk lori dianggarkan bernilai RM42,433.60. Kesemua barang rampasan dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM Labuan sebelum diserahkan kepada KPDNHEP untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Kes ini disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Mohamad Pajeri juga menyarankan orang ramai supaya menyalurkan maklumat mengenai kegiatan mencurigakan di perairan maritim.

Katanya, PPM sentiasa bersedia menggerakkan aset dan pegawai serta anggota untuk menjalankan operasi di perairan dan pesisir pantai Sabah.