Polis Marin Dan Perikanan Periksa Ikan Bom Dijual Di Pasaran

107
Pegawai Jabatan Perikanan melakukan pemeriksaan terhadap ikan yang dijual di Pasar Ikan SAFMA.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Sebanyak 21 meja peniaga ikan di Pasar Ikan SAFMA diperika dalam Operasi khas Kesan Ikan Bom, di sini pada Selasa.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Mohamad Pajeri Ali berkata, operasi yang disertai pegawai dan anggota Pasukan Polis Marin bersama pegawai Jabatan Perikanan itu dijalankan bagi mengenalpasti peniaga yang menjual ikan yang dipercayai ditangkap dengan menggunakan bahan letupan.

“Operas ini penting bagi menyekat rantaian penjualan dan permintaan terhadap ikan-ikan ini di sekitar SAFMA.

“Kami percaya sekiranya dapat mengesan dan menyekat rantaian penjualan dan permintaan terhadap ikan-ikan yang dibom ini nescaya, individu yang melakukan aktiviti pengeboman ikan ini tidak dapat menjual ikan tersebut di pasaran. Ia seterusnya akan membendung aktiviti pengeboman ikan di peringkat awal,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Rabu.

Operasi mengesan ikan dibom yang dilakukan di Pasar Ikan SAFMA pada tengah malam Selasa.

Mohamad berkata, pemeriksaan ke atas semua 21 meja peniaga itu diperiksa secara terperinci oleh pegawai perikanan supaya dapat mengenalpasti ikan-ikan hasil daripada aktiviti pengeboman yang dijual kepada orang awam.

Beliau juga menasihatkan peniaga ikan supaya bertindak jujur dengan menjual ikan daripada hasil tangakapan yang baik agar orang awam dapat menikmati ikan yang segar dan tidak tercemar dengan bahan letupan.

“Saya juga menyarankan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti pengeboman ikan supaya menyalurkan maklumat ke balai polis terdekat bagi membantu membendung aktiviti ini,” katanya.