Polis Lepaskan Tembakan Tahan Wanita Pandu Pacuan Empat Roda

KOTA KINABALU: Aksi sebuah pacuan empat roda meloloskan diri daripada ditahan polis di Tanjung Lipat pagi tadi berakhir dengan tangkapan seorang wanita yang merupakan pemandu berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, wanita tempatan berusia 35 tahun itu ditahan dihadapan lampu isyarat Tebobon, Jalan Sepanggar, Menggatal, pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superitendan George Abdul Rakman berkata, anggota bertugas terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar dan cermin penumpang belakang kenderaan yang dipandu kerana suspek bertindak agresif ingin melarikan diri setelah beberapa kali cuba ditahan.

Insiden itu menyebabkan seorang anggota polis peronda mengalami luka ringan pada bahagian lengan kiri.

George berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang pengadu pada 9.59 pagi memaklumkan kenderaan jenis Toyota Hilux miliknya yang hilang dikesan berada di tepi Jalan Tun Fuad, Pasar Filipina dan dipandu oleh seorang wanita tidak dikenali.

“Bertindak atas maklumat, dua anggota kereta peronda polis (MPV) berjaya mengesan kedudukan kenderaan terbabit di Tanjung Lipat dan menghampiri kenderaan terbabit.

“Anggota polis peronda cuba mendekati kenderaan yang dipandu suspek dan mengarahkan suspek agar memberhentikan kenderaan dengan menujukkan isyarat tangan serta menggunakan pembesar suara.

“Namun suspek tidak mengendahkan arahan itu dan terus memecut kenderaan dengan niat melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

George berkata, anggota bertugas mengejar kenderaan suspek dan cuba menahan suspek sekali lagi berhampiran simpang masuk Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan meletakkan kon keselamatan.

Namun, suspek bertindak merempuh kon tersebut dan memecut laju kenderaan menuju ke Jalan Sepanggar. Apabila berada di hadapan lampu isyarat Tebobon, Menggatal, kenderaan suspek tersekat dalam kesesakan lalu lintas dan suspek cuba melarikan diri melalui lorong kecemasan di tepi jalan namun tidak berjaya.

“Tanpa melengahkan masa, dua anggota MPV turun daripada kenderaan dan mendekati kenderaan suspek dari arah belakang. Suspek yang menyedari kehadiran anggota polis bertindak mengundurkan kenderaan dengan laju.

“Susulan itu, kedua-dua anggota terpaksa melepaskan beberapa das tembakan untuk memberhentikan kenderaan suspek dan anggota terpaksa memecahkan tingkap hadapan sebelah kiri bagi menahan suspek,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh.

Jelasnya, siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai kesalahan lampau dan dipercayai berada dalam pengaruh dadah semasa ditahan.