Polis Lancar Operasi Khazanah Kesan Suspek Bunuh Gajah Sungai Udin

TAWAU: Polis akan membantu Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah bagi mengesan suspek-suspek terlibat membunuh seekor gajah di Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan dekat sini, menerusi Operasi Khazanah.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas berkata pihaknya tidak akan membiarkan JHL bersendirian dan tanpa perlindungan polis, untuk membanteras perkara itu.

PETER UMBUAS

“Memandangkan suspek ini sah memiliki senjata api dan pihak JHL juga sudah membuat laporan polis,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar berkaitan kes dadah dan curi di Ibu pejabat Polis Daerah Tawau di sini, hari ini.

Menurut Peter, esok juga akan diadakan perjumpaan bersama wakil Jabatan Hidupan Liar bagi membincangkan cara mengesan suspek.

Hari ini, JHL Sabah menyifatkan penemuan kematian gajah pigmi di Sungai Udin, pada Khamis lepas, sebagai satu pembunuhan kejam berdasarkan hasil bedah siasat dilakukan sepasukan doktor haiwan dan pegawai hidupan liar dengan lebih kurang 70 kesan tembakan.

Pengarah JHL Sabah, Augustine Tuuga ketika dihubungi Bernama berkata hasil bedah siasat menemukan banyak peluru di dalam badan gajah betina itu sekali gus memberi bayangan keadaan gajah tersebut bertarung menahan kesakitan akibat terkena tembakan senjata api.