Polis Labuan Tahan 128 Orang Dalam 32 Op Sarang

218

LABUAN: Polis Labuan telah menjalankan 32 operasi dadah setakat ini di beberapa lokasi panas yang dikenal pasti di sekitar pulau ini, kata Ketua Polis Labuan Supt Muhamad Farid Ahmad.

Beliau berkata operasi yang dinamakan ‘Op Sarang’ menyaksikan 116 lelaki dan 12 wanita berumur di bawah 50 tahun, ditahan selepas ujian positif terhadap dadah.

“Kami telah memeriksa 299 lelaki dan 32 wanita dan mendapati hampir separuh daripada mereka adalah penagih dadah…dan semasa serbuan dilakukan, kami merampas 35.58 gram syabu,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Hari Keluarga Polis Labuan di Kompleks Sukan Antarabangsa Labuan di sini hari ini.

Operasi itu katanya, melibatkan kawasan yang didiami pendatang Filipina iaitu Kampung Muslim, Gersik Saguking, Kiansam dan beberapa kawasan di pusat bandar.

Muhamad Farid berkata daripada 128 orang yang ditahan, enam daripadanya berumur 40-an dan berasal dari Sabah adalah pengedar dadah dan disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

“Kami berusaha keras untuk membebaskan pulau bebas cukai ini daripada menjadi markas dadah dan pasaran baharu kepada pengedar dadah,” katanya.

Beliau berkata program penglibatan komuniti akan terus diadakan dengan Kampung Kiansam akan menjadi kampung angkat polis dan akan diluaskan ke kampung lain untuk mendekati penduduk dalam menangani masalah sosial di kawasan berkenaan.