POLIS LABUAN NAFI KELUAR SAMAN RM250 TIDAK PAKAI PENUTUP MULUT, HIDUNG

Gambar hiasan

LABUAN, 21 Mac — Ibu Pejabat Polis Labuan hari ini menafikan anggotanya telah mengeluarkan saman RM250 kepada orang ramai yang tidak memakai penutup mulut dan hidung di sekitar Supermarket Milimewa.

Kenyataan yang tular di pelbagai platform media sosial itu boleh sedikit sebanyak menjejaskan nama baik kontinjen polis Labuan.

Ketua polis Labuan Supt. Muhamad Farid Ahmad berkata pihaknya sedar akan kekurangan bekalan penutup mulut dan hidung di seluruh negara dan ‘ketularan’ kenyataan itu adalah tidak munasabah.

SUPT MUHAMAD FARID

Katanya tidak ada arahan setakat ini untuk mengeluarkan saman kepada sesiapa tidak memakai penutup mulut dan hidung dimana-mana sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula 18 hingga 31 Mac.

“Tidak perlulah tularkan kenyataan yang tidak ada kesahiannya yang hanya menyebabkan kegusaran masyarakat, bagaimana kita nak saman sedangkan seluruh negara hadapi masalah kekurangan bekalan alat keselamatan itu,”katanya.

Katanya bagi memperketatkan Perintah Kawalan Pergerakan, pihak polis telah pun menjalankan sekatan jalanraya bagi tujuan pemeriksaan dan kawalan pergerakan orang ramai yang masih lagi keluar rumah.

“Sehubungan dengan itu, pihak polis telah meletakkan syarat supaya orang ramai yang masih keluar dari rumah bagi tujuan hadir ke tempat kerja perlulah mengemukakan Surat Pelepasan/Kebenaran Bekerja daripada ketua jabatan dan hanya pekerja daripada sektor yang dikategorikan sebagai ‘essential services’ sahaja yang diberi keutamaan pelepasan dan kebenaran lalulintas,”katanya.

Farid mengingatkan bagi kebenaran kepada wakil isi rumah (ketua keluarga) untuk membeli barang keperluan hanya seorang sahaja yang dibenarkan.

“Sepanjang tempoh sekatan jalanraya diadakan, pihak polis mendapati masih ramai yang keluar membeli barang keperluan seisi keluarga.

“Kami memohon dan menyeru orang ramai untuk memberi kerjasama sepenuhnya bagi menjayakan usaha memutuskan rangkaian Covid-19 sekaligus membendung dan menamatkan penularan rangkaian wabak ini di Labuan,”katanya.