Polis Kota Kinabalu Tahan Dua Pemilik Kereta Sapu ‘Uber’

931
ACP Chandra, dua dari kanan, berkata polis akan terus melakukan pemantauan bagi membanteras kegiatan kereta sapu.
ACP Chandra, dua dari kanan, berkata polis akan terus melakukan pemantauan bagi membanteras kegiatan kereta sapu.

KOTA KINABALU – Polis menahan dua pemilik kenderaan yang beroperasi mengambil penumpang tanpa permit dalam Op Kereta Sapu, di kawasan Jalan Tun Fuad, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP M.Chandra berkata kedua-dua lelaki yang masing-masing berusia 25 dan 37 tahun itu ditahan dalam operasi yang bermula pukul 1 tengah hari hingga 5 petang di jalan berkenaan hasil risikan awal yang dilakukan.

“Dalam operasi itu, kita menahan dua kenderaan persendirian yang disyaki menjalankan perkhidmatan kereta sapu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kedua-dua pemandu kereta sapu itu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Trafik Kota Kinabalu bagi tujuan siasatan mengikut Seksyen 33 Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) 1987.

Pada masa sama, Chandra berkata pihaknya akan terus melakukan pemantauan bagi membanteras kegiatan kereta sapu atau penggunaan kenderaan persendirian sebagai kenderaan pengangkutan awam tanpa kelulusan.