Polis KK Gempur Sinsuran, 103 Ditahan

Antara individu yang ditahan dalam operasi khas di Sinsuran, Kota Kinabalu.

Oleh NORA AHMAD
KOTA KINABALU: Polis Kota Kinabalu berjaya menahan 103 individu atas pelbagai kesalahan dalam tempoh seminggu operasi khas dilaksanakan di sekitar Sinsuran.

Operasi yang berakhir hari ini itu, berjaya mengesan individu didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), individu melakukan kesalahan dibawah Akta Rumah Judi Terbuka, Akta Dadah Berbahaya dan tangkapan membabitkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, operasi dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang ramai berhubung aktiviti tidak sihat di kawasan berkenaan.

“Sepanjang oeprasi dilakukan, seramai 15 individu dikenakan kompaun kerana melanggar SOP PKPP manakala 13 lagi ditahan kerana didapati terbabit dalam kesalahan Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Selain itu, seramai 46 individu termasuk sembilan wanita ditahan dibawah Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas didapati melakukan kegiatan mengedar, memiliki dadah dan ujian saringan air kencing positif dadah,” katanya pada sidang media, di Sinsuran, petang tadi.

Sementara itu, mengulas lanjut berhubung operasi hari ini, Habibi berkata, pihaknya berjaya menahan seramai 29 lagi individu membabitkan 22 lelaki dan tujuh wanita.

“Tujuh yang ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah, empat atas kesalahan melanggar SOP PKPP, dua memiliki syabu dan 16 lagi positif ujian saringan air kencing.

“Polis turut berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 19.09 gram yang dianggarkan bernilai RM1,900 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya.

Sehubungan itu, Habibi berkata, semua yang ditahan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk proses dokumentasi dan tindakan selanjutnya.

Terdahulu, Habibi mengalu-alukan masyarakat supaya membantu pihak polis menyalurkan maklumat berhubung aktiviti jenayah yang berlaku di daerah ini untuk tindakan segera.

“Polis akan terus menjalankan aktiviti pemantauan dan pencegahan jenayah dari semasa ke semasa bagi memastikan daerah ini sentiasa aman dan sejahtera,” katanya.