Polis Kesan Saksi Kes Bunuh Di Kampung Bangau-Bangau

SEMPORNA: Polis sedang mengesan seorang saksi dikenali sebagai Ariffin Jursin atau Pampoy berusia 30an bagi membantu siasatan kes bunuh yang berlaku di Kampung Bangau-Bangau pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superitendan Mohd. Farhan Lee Abdullah berkata, saksi merupakan rakan serumah mangsa yang dipercayai mengalami kecederaan akibat tikaman senjata tajam pada bahagian dada sebelah kiri.

“Mangsa iaitu seorang lelaki warga asing yang berusia 26 tahun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Tawau kira-kira jam 1.54 pagi, pada 7 Februari lalu.

“Susulan itu, satu laporan polis dibuat oleh doktor dari Hospital Tawau pada 8 Februari. Doktor itu memaklumkan mangsa dihantar dari Hospital Semporna ke Hospital Tawau kira-kira jam 1.38 petang, pada 6 Februari lalu.

“Pemeriksaan kecederaan yang dijalankan ke atas pesakit mendapati satu kesan tikaman pada bahagian dada sebelah kiri dipercayai akibat senjata tajam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna sedang mengesan rakan serumah mangsa yang dipercayai boleh membantu di dalam siasatan kes ini.

Pihak polis memohon kepada saksi yang terlibat supaya segera tampil bagi membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai saksi berkenaan juga dimohon untuk menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Asisten Superitendan Arif Abdul Razak di talian 012-2753860 / 089-781222 ( samb.2954 ) atau mana-mana balai polis yang berhampiran.