Polis Kerah Tiger Platoon Tangani Pemburu Haram Di Sabah, Sarawak

400
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, dua dari kanan, ketika Majlis Penyampaian Surat Penghargaan KPN kepada pegawai dan anggota yang menolak rasuah di Batalion 14 PGA Tawau.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Pasukan elit Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) iaitu Unit Tiger Platoon akan menjadi barisan pertama dalam membantu menangani masalah pemburuan haram di Sabah dan Sarawak.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, ia selaras dengan komitmen pihaknya dalam Op Khazanah seperti yang diumumkan beliau sebelum ini.

“Unit ini akan masuk (hutan) untuk mengadakan rondaan, serbuan dan menjejak pemburu haram secara bersama dengan pihak berkuasa seperti Taman-Taman Sabah dan Jabatan Hidupan Liar.

Operasi di hutan adalah perkara biasa kepada Platoon Tiger.

“Kami tidak akan berkompromi terhadap pesalah pemburuan haram ini termasuk orang kenamaan yang terbabit jika didapati bersalah merompak khazanah negara,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Tambahnya Pengarah Jabatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Aman (KDNKA) Datuk Seri Acryl Abdullah akan memantau dan mengetuai pergerakan Tiger Platoon sepanjang Op Khazanah dilancarkan.

“Selain itu, kami juga menetapkan dua batalion di Semenanjung untuk membantu Jabatan Perhilitan dalam menangani masalah ini.

“Saya berharap melalui pendekatan tersebut, kita dapat mengurangkan seterusnya menangani masalah pemburuan haram yang ada,” katanya.

Menurut beliau, sejak Op Khazanah dilancarkan September lalu, pihaknya berjaya menahan beberapa pemburu haram warga Kemboja, Thailand, Vietnam dan tempatan di Semenanjung.

“Saya turut mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada Polis Daerah Tawau yang berjaya menangani kes pembunuhan seekor gajah Pigmi di Sungai Udin, Dumpas, 25 September lalu sehingga mampu membawa pesalah ke muka pengadilan.

“Malah saya dalam proses meyakinkan Jabatan Peguam Negara dan kerajaan untuk mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah termasuk sebatan mandatori membuktikan bahawa kami memandang berat kesalahan pemburuan haram flora dan fauna di negara ini,” katanya.